Pengurusan kami tidak ambil artis wanita - Adnin Roslan - Utusan Malaysia

Pengurusan kami tidak ambil artis wanita – Adnin Roslan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengasas Tarbiah Sentap Records, Adnin Roslan menegaskan syarikatnya tidak akan mengambil mana-mana artis wanita untuk bernaung di bawah pengurusannya.

Menurut Adnin atau nama sebenarnya Ahmad Adnin Roslan, 33, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan beberapa ulama selain memilih pendekatan yang disifatkannya lebih selamat.

“Saya tidak akan mengambil artis wanita kerana pada pandangan saya, wanita lebih baik tidak menyanyi.

“Saya berpegang pada pandangan ulama tertentu. Kalau ada pandangan berbeza daripada ulama lain, itu terpulang kepada masing-masing, tetapi saya memilih jalan yang lebih selamat,” katanya.

Adnin berkata demikian pada sidang media Nasyid Friday yang berlangsung di Ruang Shah Alam, di sini, semalam.

Tambah Adnin, setakat ini pihaknya juga belum membuka peluang kepada artis wanita menggunakan studio rakaman miliknya.

“Saya hanya mengambil lelaki untuk sesi rakaman demi menjaga diri saya. Lagipun, kebanyakan pekerja saya ialah lelaki dan hanya dua wanita bekerja dengan saya.

“Itu pun saya minta mereka bekerja dari rumah, tetapi gaji mereka tetap tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Adnin berkata, terdapat banyak perkara yang perlu diperhalusi sekiranya mahu menguruskan artis wanita, namun beliau tetap menghormati pandangan pihak lain yang berbeza pendapat.

“Bagi saya, yang lebih dekat dengan takwa ialah wanita tidak menyanyi di khalayak ramai kerana apabila wanita menyanyi, orang akan fokus kepada nyanyian atau kecantikannya?

“Terutamanya lelaki, mereka akan memuji solekan dan rupa paras. Akhirnya, lebih banyak keburukan tersebar berbanding manfaat.

“Sebab itu, pada pandangan saya, wanita tidak digalakkan menyanyi. Namun, jika ada pandangan lain, saya perlu baca dan teliti. Kalau hujah itu baik, saya hormati,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adnin memasang visi besar untuk membangunkan industri nasyid tanah air menerusi penerbitan lagu-lagu bertemakan ketuhanan dan kerohanian setiap Jumaat melalui projek Nasyid Friday.

“Saya percaya masyarakat masih cintakan karya yang mempunyai roh dan makna. Cuma generasi hari ini memerlukan pendekatan yang lebih segar dan relevan dengan zaman mereka.

“Saya berharap Nasyid Friday dapat menjadi permulaan baharu kepada kebangkitan seni dakwah moden selain membuka ruang kepada lebih ramai anak muda mendekati Islam melalui seni yang indah, lembut dan menyentuh jiwa,” katanya.

Projek Nasyid Friday akan bermula setiap Jumaat bermula Jun 2026 hingga Januari 2027.
Antara artis yang terlibat ialah Aniq Muhai, Aswan Anwar, kumpulan One Path, Rabithah, Fetya, The Truth dan Autotune Band yang bakal menghasilkan sekurang-kurangnya 48 lagu, 28 muzik video dan lapan album. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN