TEHERAN: Pengawal Revolusi Iran pada Khamis memaklumkan pasukan tentera laut negara itu membenarkan beberapa kapal China melalui Selat Hormuz sejak malam Rabu.
Iran sebahagian besarnya menyekat perkapalan melalui selat penting itu sejak tercetusnya perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Februari lalu.
Selat Hormuz merupakan laluan penting perdagangan global yang ketika waktu aman mengendalikan kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia, selain komoditi utama lain.
Dalam satu kenyataan, Pengawal Revolusi Iran berkata, keputusan itu dibuat selepas persetujuan dicapai berhubung protokol pengurusan selat oleh Iran.
“Beberapa kapal China dibenarkan melalui kawasan ini selepas perjanjian dicapai mengenai protokol pengurusan Selat Hormuz.
“Pergerakan itu bermula sejak malam tadi,” menurut kenyataan itu.
Televisyen kerajaan Iran melaporkan, lebih 30 kapal dibenarkan melalui selat berkenaan, namun tidak dapat dipastikan sama ada semuanya adalah kapal China.
Kawalan Iran ke atas laluan perairan itu menggoncang pasaran global dan memberi Teheran pengaruh besar, ketika Amerika Syarikat (AS) turut mengenakan sekatan laut ke atas pelabuhan Iran.
Pergerakan kapal itu berlaku ketika Presiden AS, Donald Trump, mengadakan lawatan ke China dan bertemu Presiden Xi Jinping pada Khamis bagi membincangkan beberapa isu termasuk perang Iran.- AFP









