PETALING JAYA: Peruntukan awal sebanyak RM100,000 disalurkan segera bagi kerja-kerja pembersihan dan pemulihan susulan kejadian kebakaran stor dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14 (1) , Putrajaya semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan itu telah diarahkan untuk disalurkan kepada sekolah selepas siasatan pihak bomba selesai bagi membolehkan kerja pembersihan awal dilaksanakan.
“Bahagian Pengurusan Sekolah Harian juga akan mengadakan sesi psikososial bersama warga sekolah untuk mengingatkan tentang langkah-langkah keselamatan di sekolah.
“Siasatan penuh sedang dijalankan oleh pihak bomba dan langkah-langkah keselamatan melindungi warga sekolah telah diambil sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata, beliau telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima perkhabaran mengenai kebakaran di dewan sekolah tersebut bagi meninjau situasi semasa.
“Alhamdulillah, pasukan bomba telah selesai memadamkan kebakaran dan saya juga telah menerima taklimat daripada pihak bomba sepenuhnya.
“Terima kasih di atas kepantasan dan kecekapan pasukan bomba dan pegawai penyiasat yang berada di tempat kejadian.
“Semoga warga SMK Putrajaya P14 (1) diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini dan Kementerian Pendidikan akan sentiasa memastikan keselamatan warga sekolah menjadi keutamaan,” katanya.
Semalam, bomba mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada jam 6.10 petang berhubung kebakaran melibatkan kerusi dan meja yang disimpan di bahagian belakang pentas dewan itu.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan kerana sesi persekolahan telah tamat. – UTUSAN










