PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi kini sedang meneliti pendekatan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) sebagai antara mekanisme baharu bagi menilai kedudukan sosioekonomi isi rumah dengan lebih menyeluruh dan tepat.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara itu kini masih di peringkat perbincangan dan ia dilihat penting bagi mendepani tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau berkata, pendekatan itu dilihat mampu memberi gambaran lebih tepat terhadap keupayaan sebenar sesebuah isi rumah kerana penilaian tidak lagi hanya tertumpu kepada pendapatan kasar semata-mata.
“Penilaian sebaliknya akan mengambil kira komitmen perbelanjaan asas, jumlah tanggungan, lokasi tempat tinggal serta kos kehidupan yang ditanggung keluarga.
“Perbincangan itu dibuat susulan wujud pandangan semakin meluas bahawa pengelasan sedia ada seperti B40, M40 dan T20 tidak lagi mencerminkan secara tepat realiti kehidupan sebahagian rakyat.
“Kita melihat ada keperluan supaya penilaian terhadap kemampuan hidup rakyat tidak dibuat hanya bersandarkan pendapatan semata-mata,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.
Katanya, konsep PAKW ini akan melihat pendapatan boleh guna bersih selepas ditolak komitmen utama isi rumah.
Akmal berkata, setiap isi rumah mempunyai struktur perbelanjaan berbeza walaupun menerima pendapatan sama dan penilaian satu kelompok pendapatan akan mewujudkan jurang tafsiran terhadap tahap sebenar kemampuan hidup rakyat.
“PAKW tidak ada kategori tetap kerana setiap isi rumah berbeza dari segi komposisi keluarga, lokasi kediaman, jumlah anak serta tanggungan yang perlu ditanggung.
“Sebab itu, dua keluarga yang mempunyai gaji sama mungkin berdepan beban kehidupan yang berbeza,” katanya.
Jelasnya lagi, penelitian terhadap PAKW masih di peringkat perbincangan dalaman kementerian dan bukannya keputusan dasar kerajaan.
Malah, katanya, sebarang perubahan berkaitan kaedah penilaian sosioekonomi rakyat termasuk sama ada melibatkan klasifikasi B40, M40 atau T20 perlu melalui pertimbangan bersama di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Jemaah Menteri.
Pada masa sama, Akmal berkata, data daripada sistem Pangkalan Data Utama (PADU) turut digunakan sebagai input tambahan bagi membantu simulasi dan penilaian berkaitan kemampuan hidup rakyat secara lebih komprehensif.
Katanya, langkah itu penting terutama jika ketidaktentuan ekonomi global terus berlarutan, supaya sebarang dasar yang dirangka tidak membebankan kumpulan isi rumah yang benar-benar terkesan.-UTUSAN










