Pemotongan bajet cermin kegagalan kerajaan urus negara ikut keutamaan - Utusan Malaysia

Pemotongan bajet cermin kegagalan kerajaan urus negara ikut keutamaan

HAIM HILMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemotongan bajet sehingga RM466 juta terhadap Kementerian Pendidikan (KPM) adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana boleh memberi impak buruk kepada sistem pendidikan negara.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kesan langsung pengurangan itu mungkin akan menyebabkan sekolah daif tidak dapat dinaik taraf selain kekurangan guru tidak dapat diatasi.

Katanya, program bantuan pelajar miskin seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan biasiswa serta sokongan pembelajaran juga berisiko dikurangkan susulan pelaksanaan langkah itu.

“Tidak mustahil infrastruktur digital sekolah terbantut, sedangkan dunia bergerak ke arah teknologi. Bagi keluarga berada, mereka tiada masalah kerana mereka ada pilihan seperti belajar sekolah swasta, mengikuti tuisyen mahal di samping mampu untuk mengakses pendidikan berasaskan digital.

“Pemotongan bajet Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak RM571 juta juga merupakan satu tamparan kepada rakyat kerana ia bukan sekadar menangguhkan projek tetapi menangguhkan harapan dan masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Keusahawanan Pas berkata, keputusan itu mencerminkan kegagalan kerajaan mengurus negara mengikut keutamaan sehingga rakyat terpaksa menjadi korban.

“Di saat rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang semakin menghimpit, kerajaan membuat satu keputusan yang bukan sahaja mengecewakan, malah menghina keperitan hidup rakyat.

“Gabungan dua pemotongan ini mencipta kesan berantai yang sangat parah. Anak miskin di kampung-kampung akan terus belajar di sekolah daif. Ketidakadilan ini akan membunuh masa depan mereka,” ujarnya.

Menurut Haim Hilman, sistem sokongan ekonomi desa yang lemah akan membawa kepada penurunan pendapatan keluarga yang memaksa anak-anak kampung bekerja lebih awal sehingga kesan kitaran kemiskinan berulang. 

Sementara itu, beliau berkata, cadangan pemotongan sehingga RM5.45 bilion melibatkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi negara turut mengancam masa depan kedua-dua sektor itu.

“Pemotongan berlaku ketika subsidi melonjak kepada RM58.4 bilion iaitu hampir empat kali ganda daripada bajet asal RM15 bilion. Mengapa boleh melonjak sebanyak itu sedangkan di masa sama negara menjana hasil berbilion-bilion ringgit dari penjualan minyak dan gas. 

“Begitu juga dengan kutipan dari cukai SST dan lain-lain cukai disamping rasionalisasi subsidi yang berjaya dijimatkan sebelum krisis Perang Amerika Syarikat – Iran bermula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN