PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menjemput Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ke Melaka untuk melihat bagaimana negeri itu menjadi destinasi pelancongan utama tanpa acara disko jalanan.
Katanya, Melaka menerima kira-kira 15 juta pelancong tahun lalu dengan hasil dijana mencecah berbilion ringgit menerusi sektor pelancongan.
“Saya jemput kamu untuk datang ke Melaka dan saya akan bentangkan bagaimana Melaka menjadi negeri utama pelancongan dalam Malaysia tanpa buat acara ala disko jalanan macam di Bukit Bintang.
“Tahun lepas, seramai 15 juta orang dengan hasil yang dijana hampir berbilion ringgit daripada sektor pelancongan, sedangkan acara disko jalanan tajaan kerajaan tiada langsung di Melaka,” katanya di laman Facebook.
Sebelum ini, Teresa Kok menggesa Pas dan Dr. Akmal supaya berhenti menjadi ‘tukang bantah’ sebaliknya mengemukakan pelan alternatif yang konstruktif untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Teresa berkata, tindakan kedua-dua pihak yang berterusan menyerang penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 sebagai satu langkah ke belakang yang hanya akan membunuh industri pelancongan negara.
Dalam pada itu, Dr. Akmal yang juga ADUN Merlimau berkata, negeri itu turut mengadakan pesta air namun diselitkan dengan elemen tradisional seperti pakaian warisan, nyanyian dan persembahan kebudayaan bagi memperkenalkan identiti tempatan kepada pengunjung.
Tambahnya, pendekatan itu lebih wajar kerana promosi pelancongan negara seharusnya berasaskan budaya tempatan agar pelancong dapat menghargai keunikan Malaysia di mata dunia.
“Kita kalau nak promosi pelancongan negara ini, bawa dan promosikan budaya yang kita ada supaya pelancong dapat hargai dan kita dapat perkenalkan budaya Malaysia.
“Bukan ambil budaya luar dan kita pula promosikan. Disco jalanan sambil tembak air itu bukan budaya Malaysia,” katanya.
Tambahnya, disko jalanan sambil tembak air bukan budaya Malaysia dan promosi pelancongan seharusnya menampilkan budaya tempatan supaya pelancong asing dapat mengenali identiti negara. – UTUSAN










