KUALA LUMPUR: Kerajaan diingatkan supaya tidak terlalu ghairah meniru model hiburan luar sehingga sanggup mengetepikan nilai tempatan hanya kerana fomo (fear of missing out).
Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr. Yusfarizal Yussoff berkata, Malaysia tidak sepatutnya menukar produk terbaik yang dimiliki negara semata-mata untuk mengejar tarikan pelancongan berasaskan hiburan ala luar negara.
Menurutnya, penganjuran ‘Disko Hujan’ yang diadakan untuk menarik pelancong menunjukkan wujud kecenderungan meniru model hiburan negara lain seperti Thailand tanpa mengambil kira sensitiviti umat Islam sebagai majoriti rakyat.
“Jangan tukar produk terbaik kita dengan produk luar, hanya kerana kita fomo.
“Kita tidak mahu kerajaan fomo, kita hanya mahu kerajaan ‘do-more’ kerana masih banyak lagi produk tempatan yang boleh dijadikan tarikan.
“Kita bukan minta Malaysia jadi negara taliban yang haramkan semua hiburan. Kita mahu Malaysia jadi negara Timur yang sopan, tinggi nilai budaya dan menghormati cara hidup tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Yusfarizal berkata, Islam sebagai agama Persekutuan dan pegangan majoriti rakyat bukan sekadar berkaitan ibadah, tetapi merupakan cara hidup yang merangkumi batas pergaulan, pemakaian serta kawalan terhadap hiburan berlebihan.
Katanya, umat Islam mempunyai garis panduan jelas termasuk larangan sentuhan antara lelaki dan wanita bukan mahram, kewajipan menutup aurat serta penolakan terhadap hiburan melampau yang boleh menjejaskan akhlak dan maruah.
“Bagi umat Islam, batasan pergaulan lelaki dan wanita, peraturan aurat dan larangan hiburan berlebihan itu menyelamatkan manusia kerana menjaga maqasid nasab, maruah dan akal,” katanya.
Tambahnya, prinsip Rukun Negara khususnya kesopanan dan kesusilaan perlu benar-benar diterjemahkan dalam dasar kerajaan dan penganjuran program awam agar pembangunan ekonomi seiring dengan pembangunan akhlak masyarakat. – UTUSAN










