LANGIT mendung mengiringi perjalanan terakhir seniman legenda, Allahyarham Jalil Hamid yang pergi menghadap illahi Selasa lalu.
Pemergian beliau yang direkodkan ketika tidur mengejutkan seluruh industri tanah air.
Allahyarham ketika tahun lepas pernah menyatakan rasa kecewanya kerana tidak dapat mengikuti isteri, Haryati Sariat melunaskan ibadah haji akibat penyakit jantung.
Fungsi jantung, yang berbaki 24 peratus tidak melayakkan allahyarham untuk mengerjakan ibadah tersebut.
Bagaimanapun, Allahyarham membenarkan isterinya untuk pergi ke tanah suci sekitar Mei lalu.
“Barangkali kesihatan itu dituntut untuk mengerjakan ibadah ini kerana cabarannya berat.
“Contohnya melontar di Mina sejauh lebih 7 kilometer, mengikut perkiraan mengumpulkan kekuatan melontar lebih 41 kilometer. Saya tidak pasti mampu atau tidak.
“Orang yang berpenyakit kencing manis, darah tinggi masih diperbolehkan lagi kerana tidak melibatkan keupayaan jantung.
“Mungkin ada hikmahnya, saya terima ketentuan. Ini kerja Allah S.W.T, bukan manusia, oleh itu saya reda,” kata arwah.
Arwah menderita komplikasi jantung, termasuk jantung bengkak.
Selepas menjalani pembedahan sekitar 2023, arwah dilaporkan mengalami penyusutan berat sehingga 30 kilogram.
Sekitar 4 Mei lepas Jalil Hamid menghembuskan nafas terakhir di kediamannya dalam keadaan tidur. Arwah berusia 69 tahun.

SENIMAN KESAYANGAN RAMAI
ALLAHYARHAM, atau nama sebenarnya Abdul Jalil Abdul Hamid dilahirkan 25 April 1957 di kampung Kuala Masai, Johor Bharu. Beliau ialah anak ketiga daripada lima beradik. Pembabitan Allahyarham dalam bidang seni bermula dengan minat seawal usia kanak-kanak lagi.
“Masa sekolah, kita kuat ‘mengajuk’, kalau menonton wayang, kita cuba menjadi seperti karakter dalam filem itu seperti dilakonkan allahyarham Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham A. Rahim.
“Dari situ saya mendekatkan dengan bidang seni. Di Felda Cahaya Bharu, Masai itulah saya mendekatkan diri dengan bidang muzik,” kongsi arwah semasa saya sempat menemu bualnya dulu.
Kecintaan arwah sebenarnya lebih cenderung kepada bidang teater. Malah selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), arwah menjadi sebahagian aktivis teater yang cukup terkenal sekitar Johor.
“Saya bekerja dengan Allahyarham A. Halim, kami aktif dengan aktiviti kelab. Di situlah saya mengenali kalthum Kadir, Azlina Kamsan dan ramai lagi.
“Saya ketika itu aktif berteater. Masa itu Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN) menganjurkan bengkel untuk aktivis teater, saya cuba mohon tapi tidak dapat.
“Saya pergi sendiri, ikut kursus yang dianjurkan. Kebanyakan waktu itu tarian yang diajar kerana teater hanya tempelan. Tapi keutamaan saya adalah teater,” kongsinya.
Arwah juga sempat melahirkan empat single iaitu Ayam, Makan, Mata dan Raya.

MENERUSKAN PERJUANGAN
Allahyarham terkenal dengan kelantangannya memperjuangkan nasib pelakon lama yang sering bergelut dengan isu bayaran rendah.
Malah ketika hayatnya dahulu, arwah pernah dibayar serendah RM150 bagi satu episod, dan pernah menerima RM1,500 untuk watak utama drama berepisod.
Menurut pelakon Rahim Jailani, beliau melihat sendiri bagaimana arwah memperjuangkan nasib pelakon veteran menerusi mesyuarat Persatuan Kebajikan Artis Veteran (PKAV) baru-baru ini.

“Ada satu perkara yang saya hendak kongsikan tentang Arwah. Beberapa bulan sebelum ini, kami telah memanggil arwah sebagai panel dalam satu majlis dialog yang dianjurkan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM).
“Dalam majlis tersebut, arwah meluahkan rasa kecewa dan rasa dihina bila ada seorang penerbit melalui pengurus produksi menawarkan kerja lakonan dengan bayaran serendah RM350 bagi satu hari.
“Kalau tak mahu hargai Jalil Hamid, hargailah bakatnya yang telah puluhan tahun berkecimpung dalam dunia lakonan pentas, televisyen, filem dan nyanyian,” katanya.
Dalam masa sama, Rahim memaklumkan perjuangan arwah membela nasib artis lama akan diteruskan persatuan tersebut.
“Insya- Allah, ini akan menjadi penguat semangat saya untuk memperjuangkan bayaran artis veteran!
“Bukan bersikap demand, tetapi hargailah artis senior yang mencari rezeki untuk meneruskan hidup,” kongsinya.










