MELAKA: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengingatkan anak buahnya supaya kekal fokus menjelang aksi terakhir Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC di laman sendiri yang bakal menjadi penentu misi mencipta sejarah kelab itu.
Menurutnya, kemenangan ke atas KL City pada 15 Mei ini amat penting buat skuad The Cats bagi membolehkan mereka menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua sekali gus melayakkan diri ke saingan AFC Champions League Two (ACL2) musim depan.
Katanya, peluang berada dalam kedudukan tersebut bukan sesuatu yang mudah buat sebuah kelab seperti Kuching City, namun beliau percaya pemain-pemainnya memiliki semangat dan keinginan tinggi untuk mencipta sejarah baharu.
“Tekanan memang sentiasa ada dalam setiap perlawanan tetapi saya lihat pemain faham apa yang perlu dilakukan. Kami tahu betapa pentingnya perlawanan terakhir ini.
“Kami tidak boleh kehilangan mata lagi kerana persaingan sangat sengit. Apa yang penting sekarang adalah bekerja keras, berlatih dan memberikan segala-galanya di atas padang.
“Kami mahu mencipta sejarah untuk kelab, pemain, keluarga dan juga penyokong yang sentiasa bersama kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan di Stadium Hang Jebat malam tadi.
Kemenangan 3-1 ke atas Melaka FC hasil jaringan hatrik Jerome Mpacko Etame memastikan pasukan itu memintas Selangor untuk berada di tempat kedua di belakang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan selangkah lagi untuk bergelar naib juara musim ini.
The Cats mengutip 50 mata dengan kelebihan satu mata memintas Selangor dengan 49 mata dan perlawanan terakhir menjadi penentu untuk menjadi naib juara Liga Super musim ini.
Aidil berkata, beliau bangga dengan komitmen dipamerkan pemain sepanjang musim ini termasuk kejayaan mara ke separuh akhir Piala FA dan final Piala Malaysia berdepan JDT pada 23 Mei nanti.
Menurutnya, pencapaian tersebut sudah membuktikan bahawa Kuching City kini berada di landasan tepat untuk menjadi antara pencabar utama bola sepak tempatan.
“Bukan mudah untuk sebuah kelab seperti kami berada dalam situasi ini kerana ramai pemain dan juga pihak pengurusan belum pernah melalui pengalaman sebegini tetapi semua orang mahu berjaya,” katanya.
Dalam masa sama, Aidil berharap kelebihan beraksi di laman sendiri mampu menjadi pembakar semangat pasukan ketika melayani kunjungan KL City nanti.
Beliau turut menyeru penyokong hadir memenuhi stadium bagi memberi sokongan penuh kepada pasukan dalam usaha memburu kemenangan yang mampu menghadiahkan tiket ke ACL2.
“Perlawanan terakhir ini pasti menarik. Saya harap penyokong akan hadir memberi sokongan kerana pemain akan berjuang habis-habisan untuk menghadiahkan sesuatu yang istimewa buat mereka,” katanya.-UTUSAN










