KKM lancar program perlindungan kesihatan paru-paru

KKM lancar program perlindungan kesihatan paru-paru

DR. Dzulkefly Ahmad merasmikan buku Smoking Products Control Policy pada Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2026 di Cyberjaya hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan Program IHH–KKM–PDRM LungShield sebagai inisiatif memperkukuh saringan awal, pengesanan dan rawatan penyakit paru-paru di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, program itu mencerminkan hala tuju kesihatan awam moden yang memberi penekanan kepada saringan lebih awal, rujukan lebih pantas serta penggunaan teknologi kesihatan yang lebih canggih.

Beliau berkata, LungShield juga bertujuan memperkukuh koordinasi antara sektor awam dan swasta dalam memastikan pesakit mendapat akses rawatan yang lebih efisien dan menyeluruh.

“Penyakit paru-paru kekal antara punca utama morbiditi dan kematian di Malaysia, khususnya kanser paru-paru yang sering dikesan pada peringkat lewat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2026, di sini hari ini.

Katanya, diagnosis lewat bukan sahaja menjejaskan peluang rawatan pesakit malah memberi kesan besar daripada segi emosi, sosial dan kewangan kepada keluarga.

Dr. Dzulkefly berkata, sebagai permulaan, program berkenaan akan melibatkan saringan terhadap 10,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya dalam kalangan anggota polis trafik yang berdepan risiko pendedahan pekerjaan dan persekitaran.

Menurutnya, saringan itu akan menggunakan teknologi X-ray dada berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pengesanan awal, di samping laporan pakar radiologi serta laluan diagnostik susulan yang lebih sistematik.

“Program ini turut menyediakan mekanisme sokongan termasuk perlindungan kewangan bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan lanjut tanpa beban kos yang tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN