Sekatan akaun media sosial: Buat rayuan kepada tribunal, cabar keputusan MCMC

Sekatan akaun media sosial: Buat rayuan kepada tribunal, cabar keputusan MCMC

TEO Nie Ching menyantuni pelajar Cemerlang SPM 2025 bagi Parlimen Kulai di Kulai, Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Mana-mana pengguna media sosial yang dikenakan sekatan akaun atau penurunan kandungan disaran untuk membuat rayuan menerusi Tribunal Rayuan Komunikasi dan Multimedia dan Keselamatan Dalam Talian.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ini bermakna sebarang tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) boleh dicabar melalui tribunal tersebut.

Jelasnya, tribunal berkenaan dipengerusikan oleh hakim daripada mahkamah tinggi bersama sekurang-kurangnya dua ahli tribunal itu.

“Kadang-kadang ada pihak yang merasakan keputusan MCMC ini tidak adil, jadi gunalah tribunal rayuan yang telah diwujudkan ini mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Saya tidak cakap keputusan MCMC mestilah selalunya betul kerana itu mustahil. Jadi, jika ada pertikaian, sila guna tribunal rayuan yang berfungsi secara ad hoc ini.

“Tribunal rayuan ini bukan dipengerusi atau didengari oleh pegawai daripada MCMC, tetapi hakim daripada Mahkamah Tinggi yang mendengar sebarang rayuan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sumbangan Murid Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Peringkat Parlimen Kulai, di sini hari ini.

Kelmarin, media melaporkan ahli perniagaan, Albert Tei bersama sekumpulan pencipta kandungan melancarkan protes dengan duduk dan bantah di kawasan lobi Kementerian Komunikasi di Putrajaya.

Mereka menegaskan akan terus ‘berkampung’ di situ selagi tidak mendapat penjelasan daripada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berhubung dakwaan sekatan terhadap akaun TikTok milik Albert.

Menurut Nie Ching, Kementerian Komunikasi tidak terlibat sama sekali dalam sebarang tindakan sekatan akaun bagi mana-mana platform media sosial yang dilakukan oleh MCMC.

“Walaupun saya seorang Timbalan Menteri dan Datuk Fahmi Fadil selaku Menteri Komunikasi, kami tidak mendengar atau pun terlibat dalam keputusan MCMC,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN