KUALA LUMPUR: Kerajaan membelanjakan sebanyak RM15 bilion pada tahun ini untuk membawa keluar rakyat daripada kepompong kemiskinan dan menjamin kesejahteraan hidup mereka tanpa mengira kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan tersebut melibatkan semua rakyat merentasi kaum menerusi pelbagai kementerian serta agensi kerajaan.
Menurut beliau, kerajaan tidak akan mengambil pendekatan yang bersifat perkauman sebaliknya memberi fokus kepada yang benar-benar memerlukan bantuan
“Bila kita sebut kemiskinan tegar, semua rakyat tanpa kecuali mesti dibebaskan daripada belenggu kemiskinan. Pendekatan kita bukan berdasarkan kaum semata-mata. Bagi rakyat yang miskin tegar kita bantu semua tanpa kecuali,” katanya dalam ucapan di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Mahasiswa India di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), P. Prabakaran.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap masyarakat India yang masih berada dalam kelompok miskin dan terpinggir termasuk di kawasan estet.
Katanya, bantuan kepada masyarakat India bukan hanya disalurkan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), malah turut melibatkan kementerian lain menerusi program pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Terdapat pihak tertentu yang mendakwa kerajaan tidak membantu masyarakat India, namun dakwaan tersebut tidak benar kerana pelbagai bantuan telah disalurkan sejak kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran negara.
“Prestasi baik Mitra turut mendorong kerajaan meningkatkan peruntukan agensi itu daripada RM100 juta kepada RM150 juta bermula tahun ini,” katanya.
Tambahnya, dakwaan kerajaan tidak pernah membantu kumpulan kaum tertentu adalah tidak benar dan berniat jahat.
“Saya tak katakan kita lakukan semua yang terbaik kerana kita masih boleh perbaiki, tetapi untuk menyatakan tidak ada bantuan itu tidak benar,” katanya. – UTUSAN










