Pembelian saat akhir lembu korban legakan peniaga, penternak

Pembelian saat akhir lembu korban legakan peniaga, penternak

CHE Mohd. Faizol Che Abdullah memeriksa keadaan lembu ternakannya di Kampung Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Pembelian saat akhir lembu untuk ibadah korban menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini menjadi ‘talian hayat’ kepada peniaga dan penternak di daerah ini selepas berdepan kelembapan jualan sejak awal bulan lalu.

Peningkatan tempahan secara mendadak pada minggu terakhir ini bukan sahaja merancakkan kembali pasaran ternakan malah membantu pengusaha mengurangkan tekanan kos operasi yang semakin meningkat.

Seorang peniaga lembu, Che Mohd. Faizol Che Abdullah berkata, meskipun keletihan menguruskan penghantaran lembu kepada pelanggan di beberapa lokasi, dia bersyukur apabila jualan kembali rancak memandangkan sebelum ini bergerak perlahan.

Katanya, pengguna dilihat lebih berhati-hati membuat perbelanjaan susulan keadaan ekonomi semasa selain peningkatan kos pengangkutan akibat kenaikan harga diesel.

“Pada awal bulan lalu, jualan agak perlahan dan ada peniaga mula bimbang lembu tidak habis dijual sebelum Aidiladha.

“Namun memasuki minggu terakhir, tempahan meningkat mendadak terutama daripada individu, syarikat korporat dan wakil rakyat yang mahu melaksanakan ibadah korban,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Che Mohd. Faizol berkata, kebanyakan pelanggan memilih membuat pembelian pada saat akhir bagi mendapatkan harga lebih sesuai selain menunggu kepastian kewangan masing-masing.

Seorang lagi penternak di Kuantan, Mohd, Razi Hassan berkata, peningkatan kos harga dedak sejak dua tiga tahun kebelakangan menyebabkan harga lembu terpaksa dijual lebih mahal.

Katanya, kenaikan kos itu turut menyebabkan harga lembu korban meningkat sehingga minimum berharga RM5,000 seekor.

“Disebabkan harga lembu naik, satu bahagian korban sekarang sekitar RM750 dan ke atas. Itu antara faktor jualan tahun ini merosot lebih 50 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Oleh sebab itu, Razi bercadang beralih kepada penternakan kambing selepas ini kerana tidak lagi sanggup menanggung kos tinggi bagi penternakan lembu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN