HULU LANGAT: Usaha untuk membebaskan 10 rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 akan lebih sukar berbanding sebelum ini.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya belum menerima maklumat rasmi setakat 38 jam selepas penahanan 175 aktivis kemanusiaan itu.
Beliau berkata, SNCC sedang meneliti maklumat bahawa kesemua mereka dibebaskan pada pukul 12.30 tengahari tadi di Pelabuhan Ierapetra, Crete Selatan, Greece.
“Mereka (rejim Zionis) tidak mahu kumpulan yang besar ini bergabung dengan kumpulan yang berada di Turkiye.
“Dan pastinya kali ini saya kira proses untuk kita membebaskan itu tidak mudah. Sehingga 38 jam kita masih belum menerima maklumat rasmi, walau bagaimanapun saya mohon untuk terus berdoa, insya-Allah,” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Luar Israel, Gideon Saar berkata, langkah itu dibuat dengan penyelarasan Kerajaan Greece selepas tentera Israel memintas misi di perairan antarabangsa berhampiran Pulau Crete.
Saar mendakwa, Israel menyekat percubaan untuk memecahkan sekatan lautnya ke atas Gaza dan menghalang kapal-kapal berkenaan daripada sampai ke wilayah itu.
Katanya, semua peserta yang dibawa keluar dari kapal tidak mengalami kecederaan dan dipindahkan ke sebuah kapal Israel sebelum dihantar pulang.
Sani Araby berkata, Kerajaan Malaysia sudah menyatakan pendirian tegas dengan mengecam tindakan rejim Zionis dan menyifatkan ia sebagai pelanggaran dan pencabulan undang-undang antarabangsa.
“Saya juga ingin maklumkan bahawa usaha bersama dengan keseluruhan kumpulan-kumpulan perundangan dari serata dunia turut ditingkatkan untuk memberi tekanan kepada rejim Zionis melalui kedutaan-kedutaan masing-masing,” katanya.-UTUSAN









