TUMPAT: Seorang pembantu kedai didenda RM3,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki senapang angin tanpa permit di Kampung Nechang, dekat sini minggu lalu.
Muhammad Syahmi Mat Ghoni, 24, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.
Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa memiliki sepucuk senapang angin tanpa permit atau lesen sah di Kampung Nechang di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 6 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahfuzah Hamizah Mohd. Ariff manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Afiqah Amran. Afiqah dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung kedua ibu bapanya selain mendakwa senapang angin itu digunakan untuk menembak binatang liar termasuk burung.
Bagaimanapun, Mahfuzah Hamizah memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada masyarakat agar tidak memiliki senjata tanpa permit.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,800 atau penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh menjelaskan bayaran denda tersebut. – UTUSAN










