Thee Marloes lancar album baharu berjudul ‘Di Hotel Malibu’ - Utusan Malaysia

Thee Marloes lancar album baharu berjudul ‘Di Hotel Malibu’

Di Hotel Malibu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kumpulan soul dari Surabaya, Thee Marloes kembali mencuri perhatian menerusi pelancaran album kedua mereka berjudul ‘Di Hotel Malibu’ di bawah naungan Big Crown Records pada 22 Mei nanti.

Album berkenaan disifatkan sebagai peluasan horizon muzik kumpulan itu yang kini tampil lebih terbuka, bersifat dialog dan lebih kuat berakar pada identiti Indonesia.

Selepas dua tahun sejak kemunculan album sulung Perak, Thee Marloes terus mengembangkan bunyi unik mereka dengan pendekatan lebih matang serta segar menerusi karya baharu itu.

Kumpulan terbabit dianggotai vokalis dan pemain papan kekunci Natassya Sianturi, gitaris dan penerbit Sinatrya Dharaka serta pemain dram Tommy Satwick yang sentiasa berkarya sebagai satu unit kreatif.

Menurut Thee Marloes, album itu lahir daripada pengalaman sepanjang dua tahun kebelakangan ini yang dipenuhi realiti sosial, dinamika percintaan dan perubahan hidup selepas kejayaan mereka di pentas antarabangsa.

“Album ini adalah respons terhadap segala yang kami lalui sepanjang dua tahun terakhir termasuk perubahan dalam hidup dan hubungan kami,” kata kumpulan itu.

‘Di Hotel Malibu’ memuatkan 14 lagu termasuk beberapa single yang telah dilancarkan lebih awal seperti Harap dan Ragu, I’d Be Lost, What’s On Your Mind dan lagu judul Di Hotel Malibu.

Album tersebut turut memperlihatkan keberanian Thee Marloes bereksperimen dengan struktur muzik lebih bebas, warna instrumen baharu dan perubahan ritma yang tidak dijangka tanpa meninggalkan akar soul mereka.

Sinatrya berkata, pengalaman mempersembahkan muzik kepada peminat di seluruh dunia memberi suntikan semangat baharu kepada kumpulan itu untuk terus menghasilkan karya lebih berani dan segar.

“Perhatian global yang kami terima membuka ruang untuk kami berkembang dan membawa muzik soul dari Surabaya ke pentas dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN