Siti Nurhaliza bukan guna 'kabel', staf tolong rebut slot - Pengurus - Utusan Malaysia

Siti Nurhaliza bukan guna ‘kabel’, staf tolong rebut slot – Pengurus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurus kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak tampil menjelaskan dakwaan kononnya penyanyi tersohor itu menggunakan kelebihan ‘kabel’ untuk mendapatkan slot di restoran popular, Rembayung.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di media sosial, Rozi menjelaskan kehadiran Siti ke restoran milik pempengaruh, Khairul Aming itu sebenarnya adalah atas jemputan bagi meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya.

Tegas Rozi, Siti tidak terlibat dalam proses tempahan atau ‘battle’ mendapatkan slot di restoran tersebut, sebaliknya hanya hadir sebagai tetamu untuk kejutan yang dirancang.

“Sebenarnya Siti Nurhaliza itu hanya hadir sebagai jemputan meraikan saya, dan saya juga hadir kerana ada kejutan sambutan hari lahir untuk saya di situ.

“Jadinya yang ‘battle’ (berusaha mendapatkan slot) semua itu bukan beliau. Kebetulan kami mendapat slot tengah hari pada hari bekerja, jadi kami hadir juga,” katanya bagi menjawab pertanyaan netizen di ruangan komen.

Penjelasan itu dibuat selepas timbul desas-desus dan komen dalam kalangan pengguna media sosial yang mempertikaikan bagaimana penyanyi lagu Purnama Merindu itu dengan mudah mendapat slot di restoran berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan penggunaan ‘kabel’ bagi memintas pelanggan lain, Rozi mendedahkan bahawa slot tersebut diperoleh secara sah hasil usaha kakitangan dan ahli keluarganya.

“Ramai yang tanya dalam komen-komen di media sosial dan ada yang kata ‘kabel’. Kunjungan yang pertama dulu daripada slot ‘battle’ anak saudara Datuk K (Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa) dan yang kedua ini pula adalah hasil usaha staf-staf pula.

“Saya terangkan supaya dapat menjawab juga pertanyaan lain,” jelasnya lagi.

Terdahulu, tular beberapa foto dan video memaparkan Siti Nurhaliza menikmati hidangan di Rembayung seterusnya menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN