KEMAMAN: Mahkamah Majistret di sini membenarkan polis menahan reman seorang pemandu treler bagi membantu siasatan kes kemalangan maut melibatkan seorang juruteknik di Kilometer 291 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini kelmarin.
Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini terhadap lelaki berusia 47 tahun yang berasal dari Permaisuri, Setiu itu dibenarkan Majistret Marsha Abdul Malik selepas mendapat permohonan polis, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, lelaki itu yang mengalami kecederaan ringan dibenarkan keluar dari Hospital Kemaman, semalam.
“Ujian saringan urin terhadapnya didapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang kelmarin, treler dipandu lelaki itu yang dalam perjalanan dari arah Tol Jabor menuju ke Kuala Besut dipercayai hilang kawalan dan melanggar Mitsubishi Triton dinaiki tiga beranak yang berada di lorong kanan lebuh raya.
Pelanggaran itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan berkenaan merempuh penghadang lebuh raya dan masuk ke laluan bertentangan sebelum sebuah lagi kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50, gagal mengelak dan merempuh Mitsubishi Triton tersebut.
Kemalangan itu menyebabkan pemandu Mitsubishi Triton, Rosli Yusuf, 54, maut di lokasi kejadian manakala dua anaknya, Iliya Markisa, 23, dan Auni Ukhratan Basyirah, 14, mengalami keceraan di bahagian kepala, leher, muka dan mata.
Seorang penumpang Proton X50 turut mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala dan leher.
Mohd. Razi berkata, sehingga kini, Iliya Markisa masih dirawat di Hospital Kemaman manakala adinya telah dibenarkan keluar hospital. – UTUSAN










