PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini menjatuhkan hukuman penjara maksimun 14 tahun terhadap bekas suami Jahidah Nordin @ Sylvester selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim, Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas mendapati hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan terhadap Rosmaini Abd. Raof sebelum ini tidak memadai.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmaini membayar pampasan sebanyak RM25,000 kepada Jahidah melalui wakil keluarga wanita itu yang menjaganya.
Gagal membayar pampasan itu, hukuman penjara Rosmaini boleh ditambah enam bulan lagi.
Selesai prosiding, Rosmaini yang hadir dengan tangan berbalut dilihat tersenyum ketika keluar daripada kandang tertuduh.
“Fakta kes menunjukkan satu serangan ganas seorang suami terhadap isterinya yang sedang hamil.
“Dalam kes ini, dua kehidupan telah musnah. Mangsa hanya hidup pada nama manakala anaknya mengalami masalah perkembangan,”kata Hakim Noorin Badaruddin ketika membaca penghakiman ringkas panel itu.
Ketika kejadian, Jahidah sedang hamil empat minggu dan anaknya dilahirkan melalui pembedahan ketika wanita itu masih dalam keadaan koma.
Rosmaini kini dalam reman bagi siasatan kes berlainan mencederakan isterinya sehingga gugur dalam satu kejadian hujung April lalu di Sungai Petani, Kedah.-UTUSAN.










