JOHOR BAHRU: Seorang pemandu bas berputih mata selepas kerugian RM537,201 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud di laman sosial, Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada wanita warga tempatan berusia 48 tahun, pada Khamis lalu.
“Tertarik dengan membuat pelaburan selepas melihat tawaran yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda dalam tempoh singkat ketika melayari Facebook. Mangsa menekan pautan disediakan sebelum berurusan dengan suspek.
“Mangsa telah melakukan 12 transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun berbeza berjumlah keseluruhan RM537,201 sejak 5 Mac hingga 8 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, helah sindiket itu mula terbongkar apabila mangsa diminta membuat bayaran tambahan sekiranya mahu mengeluarkan wang keuntungan pelaburan berkenaan.
“Mangsa gagal berbuat demikian dan menyedari telah ditipu selepas usaha mendapatkan semula wang modal pelaburannya menemui jalan buntu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










