Cabaran kini berbeza, guru perlu sabar - tokoh guru - Utusan Malaysia

Cabaran kini berbeza, guru perlu sabar – tokoh guru

ANWAR Ibrahim menyampaikan Anugerah Tokoh Guru kepada Abdul Rashid Bakar pada pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 di Perak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Cabaran dunia pendidikan masa kini menuntut guru memainkan peranan lebih besar berbanding sekadar menyampaikan ilmu di dalam bilik darjah.

Penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2026, Abdul Rasid Bakar, 64, berkata, pendekatan mendidik generasi hari ini bukan sahaja memerlukan kesabaran tinggi malah menuntut guru untuk memahami emosi dan jiwa murid.

“Cabaran sekarang berbeza dengan zaman 80 atau 90-an. Cabaran guru sekarang perlu banyak bersabar kerana sebagai pendidik, kita tidak boleh hanya sekadar mengajar.

“Sebagai guru, kita perlu menyentuh hati murid kerana sentuhan itu yang sebenarnya boleh membuka minda dan kesanggupan pelajar untuk belajar,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Anwar turut menyampaikan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Dr Ahmad Rafee Che Kassim.

Mengulas mengenai anugerah yang diterimanya, pesara guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka itu berkata, beliau tidak pernah menyangka akan menerima pengiktirafan tersebut sepanjang bergelar pendidik.

Menurutnya, sepanjang kerjaya sebagai guru selama 34 tahun, beliau tidak meletakkan harapan terhadap sebarang bentuk anugerah, sebaliknya hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas mendidik pelajar di dalam bilik darjah.

“Apabila menerima berita atau surat mengenai anugerah ini, saya memang terperanjat kerana kebiasaannya anugerah lebih banyak diberikan kepada kepimpinan sekolah atau pentadbir.

“Saya hanyalah seorang guru dalam bilik darjah dan menganggap penganugerahan ini mewakili guru-guru yang masih berkhidmat di dalam bilik darjah. Semoga ia menjadi motivasi untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, sebagai antara kumpulan terawal menerima penjawatan Guru Cemerlang, Abdul Rashid yang merupakan bekas guru kimia menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan (KPM) mengurangkan tugas pengkeranian agar warga pendidik dapat kembali fokus kepada tugas hakiki mereka.

“Apabila beban kerja sampingan dikurangkan, guru-guru boleh tumpu sepenuhnya kepada kerja-kerja asas sebagai guru di dalam bilik darjah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN