PUTRAJAYA: Mana-mana pemaju atau kontraktor yang cuba melakukan penyelewengan dalam pelaksanaan Skim Simen Rahmah akan dikenakan tindakan tegas.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan inisiatif berkenaan termasuk menjual semula bekalan simen subsidi kepada pihak lain akan disenarai hitam buat selama-lamanya.
Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja dikenakan terhadap syarikat terlibat, malah turut membabitkan pengarah syarikat berkenaan.
“REHDA sudah menyebarkan maklumat ini kepada semua ahlinya supaya mereka boleh mula membuat permohonan. Saya mahu memastikan ia dilaksanakan dengan jujur dan prosesnya berintegriti.
“Kita tidak mahu ada pihak yang membeli bekalan itu dan kemudian menjualnya kepada pihak lain. Jika didapati ada pemaju yang melakukan penyelewengan sedemikian, saya akan menggunakan kuasa saya untuk menyenarai hitamkan pemaju dan kontraktor untuk selama-lamanya,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Skim Simen Rahmah 2026 di sini, hari ini.
Kor Ming berkata, skim itu dilaksanakan khusus bagi projek rumah mampu milik termasuk Projek Residensi Rakyat (PRR), Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) serta projek perumahan mampu milik swasta yang layak.
Katanya, inisiatif itu membolehkan simen dijual pada harga lebih rendah berbanding pasaran semasa sekali gus membantu mengawal kenaikan kos pembinaan rumah mampu milik.
“Melalui skim ini, simen pukal ditawarkan pada harga RM290 satu tan metrik berbanding harga pasaran RM425, manakala simen kampit 50 kilogram dijual pada harga RM17.50,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 1.6 juta tan metrik simen diperuntukkan bagi fasa pertama Inisiatif Simen Rahmah 2026 untuk menyokong sasaran pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh lima tahun. – UTUSAN










