PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mempertimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang didakwa melemparkan fitnah jahat terhadapnya berhubung isu status tanah di Taman Segar, Cheras.
Beliau berkata, dua laporan polis juga telah dibuat berhubung penyebaran dakwaan tersebut yang melibatkan seorang aktivis politik dan seorang penyelidik.
Hannah menegaskan, tuduhan kononnya beliau terlibat dalam jawatankuasa tanah bagi mempercepatkan proses penukaran status tanah daripada pegangan pajakan (leasehold) kepada pegangan bebas (freehold) di kawasan tersebut adalah satu pembohongan.
“Dua laporan polis telah dibuat iaitu satu pada semalam dan satu lagi pada pagi tadi bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan segera.
“Saya juga akan mempertimbangkan tindakan mahkamah untuk pihak yang memfitnah ini kerana mereka tidak henti-henti memainkan isu kaum dan ini adalah pembohongan langsung,” katanya dalam sidang akhbar Penambahbaikan Sistem e-Lesen Pemudah Urusan Pelesenan Perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Menara Seri Wilayah di sini hari ini.
Hannah berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat olehnya susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang aktivis politik dan seorang penyelidik.
Mengulas lanjut mengenai kehadirannya di Taman Segar sebelum ini, ahli Parlimen Segambut itu menjelaskan bahawa isu status tanah langsung tidak pernah diumumkan dalam program tersebut, selain segala gerak kerja dan kenyataan media yang dibuat mempunyai rekod serta bukti yang jelas.
“Benda ini tidak pernah kita umumkan di Taman Segar, Cheras. Kita ada Facebook Live, kita ada kenyataan media, kita ada laporan artikel yang keluar,” katanya. – UTUSAN










