KUALA LUMPUR: Pengguna bakal mempunyai kawalan lebih besar terhadap perkongsian data kewangan mereka menerusi pelaksanaan kewangan terbuka atau open finance di Malaysia dengan fasa awal pelaksanaannya dijangka bermula pada 2027.
Pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, inisiatif itu bertujuan membolehkan perkongsian data secara selamat antara penyedia perkhidmatan kewangan bagi mewujudkan pengalaman pelanggan yang lebih lancer.
Katanya, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) serta industri kewangan bagi membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong pelaksanaan kewangan terbuka.
“Pelanggan juga boleh melihat dengan mudah persetujuan yang telah diberikan serta menarik balik persetujuan tersebut pada bila-bila masa. Penyertaan pula adalah secara sukarela dan berdasarkan konsep opt-in.
“Peserta yang terlibat tertakluk kepada piawaian privasi dan keselamatan yang ketat. PayNet hanya berperanan memudahkan perkongsian data kewangan secara selamat dan disulitkan (encrypted).
“PayNet tidak mempunyai akses untuk melihat atau menyimpan data kewangan pelanggan. Perkongsian data kewangan juga tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) serta undang-undang berkaitan lain,” katanya dalam Bengkel Media BNM mengenai Perlindungan Pengguna dan Pembaharuan Pasaran Adil di Sasana Kijang di sini hari ini.
BNM berkata, terdapat prosedur penyelesaian yang jelas serta saluran aduan yang mudah diakses sekiranya berlaku sebarang masalah dan pengguna juga perlu menyediakan saluran aduan dan pertikaian kepada pelanggan.
“BNM akan mengambil tindakan terhadap institusi kewangan yang gagal melindungi maklumat pelanggan yang dihantar menerusi kewangan terbuka,” jelasnya.
Wakil bank pusat berkata, pelanggan akan kekal sebagai pihak utama yang menentukan bagaimana data mereka diakses, digunakan dan dikongsi.
“Kami berharap dapat mengeluarkan dokumen dasar menjelang hujung tahun ini dan antara peruntukan yang dicadangkan ialah pelanggan mesti mempunyai hak untuk menarik balik persetujuan mereka pada bila-bila masa,” katanya.
Jelasnya, konsep open finance bukan bermaksud institusi atau platform tertentu boleh mengakses maklumat kewangan pengguna tanpa kebenaran, sebaliknya semua bentuk perkongsian dan penggunaan data memerlukan persetujuan jelas daripada pelanggan terlebih dahulu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan bahawa MyDigital ID yang diperkenalkan kerajaan ketika ini merupakan proses pendigitalan identiti nasional dan berpotensi disepadukan dengan pelbagai skim perkongsian data termasuk kewangan terbuka pada masa depan.
“Dari segi MyDigital ID, ia pada asasnya adalah pendigitalan kad pengenalan nasional anda. Dari sudut integrasi, kami melihat dalam jangka masa panjang bahawa pelbagai skim perkongsian data ini berpotensi diintegrasikan dengan kewangan terbuka.
“Namun, ini tidak bermaksud skim-skim tersebut boleh mendapatkan akses kepada maklumat kewangan peribadi tanpa persetujuan pelanggan. Perkara utama di sini ialah pelanggan mesti memberikan persetujuan terlebih dahulu apabila melibatkan perkongsian, akses dan penggunaan data peribadi mereka,” jelasnya.
Tambahnya, pelaksanaan kewangan terbuka telah diperkenalkan di beberapa negara termasuk United Kingdom (UK), Australia dan Korea Selatan.
“Antara manfaat utama sistem itu ialah membolehkan pengguna melihat akaun kewangan mereka secara agregat menerusi satu platform selain meningkatkan ketelusan terhadap bagaimana data kewangan dinilai dan dikongsi.
“Sebagai contoh, pengguna yang memohon kad kredit menerusi platform digital pada masa ini mungkin tidak mengetahui bagaimana data mereka digunakan atau pihak yang mempunyai akses terhadap maklumat tersebut.
“Dengan kewangan terbuka, pelanggan sendiri akan mempunyai keterlihatan dan kawalan terhadap data mereka,” jelasnya. – UTUSAN










