Kehadiran penyokong negara jiran warnai Piala Dunia Sepak Takraw 2026

Kehadiran penyokong negara jiran warnai Piala Dunia Sepak Takraw 2026

PENYOKONG Jepun yang hadir memberikan sokongan kepada negaranya di Piala Dunia Sepak Takraw 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kehangatan saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 bukan sahaja dirasai di dalam gelanggang, malah turut dimeriahkan dengan kehadiran  penyokong dari negara jiran yang datang di Stadium Titiwangsa bagi memberikan sokongan padu kepada negara masing-masing.

Sorakan tanpa henti daripada penyokong khususnya dari pelbagai negara seperti Indonesia, Korea Selatan dan Jepun mencetuskan suasana luar biasa apabila setiap perlawanan berlangsung dalam atmosfera penuh gegak-gempita, sekali gus menambahkan lagi warna kepada kejohanan berprestij itu.

KEHADIRAN penyokong Korea Selatan yang memberikan sokongan kepada pasukan negaranya di Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa

Gelombang sokongan tersebut jelas membuktikan sepak takraw terus mempunyai pengaruh besar di rantau Asia Tenggara, malah menjadi platform yang menyatukan peminat sukan merentasi sempadan negara.

Penyokong yang hadir bukan sekadar memenuhi ruang tempat duduk, sebaliknya tampil dengan pelbagai kreativiti termasuk membawa bendera, sepanduk dan mengenakan pakaian bertemakan warna negara masing-masing.

Malah, ada antara mereka sanggup merancang perjalanan lebih awal dan merentas sempadan semata-mata mahu menyaksikan aksi bintang sepak takraw dunia beraksi secara langsung.

Kehadiran penyokong luar turut memberi impak positif kepada penganjuran kejohanan apabila kawasan sekitar venue dipenuhi pengunjung, sekali gus mewujudkan suasana meriah seperti pesta sukan antarabangsa.

Aura yang dibawa para penyokong itu secara tidak langsung menaikkan semangat pemain di gelanggang, selain membuktikan Piala Dunia Sepak Takraw bukan sekadar medan memburu kejuaraan, tetapi pentas penyatuan budaya dan semangat kesukanan serantau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN