KUALA LUMPUR: Malaysia merangka tiga teras utama bagi memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju ekonomi kecerdasan buatan (AI), meliputi pembangunan infrastruktur hijau, pendemokrasian akses teknologi serta integrasi AI merentas sektor utama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan pembangunan AI negara dilaksanakan secara mampan, inklusif dan memberi impak langsung kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
“Keutamaan pertama ialah pembangunan infrastruktur AI yang direka secara hijau, selaras dengan peningkatan pesat keperluan kuasa pengkomputeran serta peranan pusat data sebagai tulang belakang ekonomi digital.
“Pertumbuhan digital tidak boleh dicapai dengan mengabaikan tanggungjawab alam sekitar, sebaliknya perlu disokong oleh penggunaan tenaga boleh diperbaharui, peningkatan kecekapan tenaga dan perancangan infrastruktur yang mampan.
“Pertumbuhan mesti bertanggungjawab, iaitu pertumbuhan hijau dan mampan sejak dari awal,” katanya dalam ucaptama Sidang Kemuncak Kepimpinan AI Microsoft, di sini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), berkata, keutamaan kedua ialah pendemokrasian akses kepada teknologi AI bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Kerajaan menegaskan sesebuah negara tidak boleh menggelarkan diri sebagai negara AI sekiranya manfaatnya hanya dinikmati oleh kelompok tertentu.
“Sehubungan itu, literasi AI akan diperluas ke sekolah, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta penjawat awam di seluruh negara bagi memastikan rakyat bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi turut mampu memanfaatkannya secara bermakna,” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata, keutamaan ketiga ialah integrasi AI sebagai pengganda kekuatan merentas sektor utama termasuk pembuatan, pertanian, kesihatan, tenaga dan air.
“AI kini berperanan sebagai alat praktikal untuk meningkatkan kecekapan, meramal permintaan, mengoptimumkan sumber, mengurangkan pembaziran serta menjana nilai ekonomi yang lebih besar.
“Kerajaan turut menegaskan bahawa pelaksanaan AI perlu dipercepat secara bertanggungjawab khususnya dalam sektor berimpak tinggi kepada rakyat,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, pelaksanaan kecerdasan digital turut mula mengubah perancangan dan pengurusan sistem tenaga negara.
“Ia selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan sekitar 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050, sekali gus memerlukan sistem yang lebih pintar dan adaptif bagi menyokong peralihan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seiring Malaysia melangkah ke arah masa depan yang semakin digital, tanggungjawab negara adalah bersifat dua hala.
“Pertama, menerima inovasi secara berani bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global dan kedua memastikan inovasi tersebut dipandu oleh nilai, kebertanggungjawaban, keterangkuman serta sifat ihsan.
“Teknologi yang dipandu oleh integriti mampu menjadi antara kuasa paling berkesan dalam memperkukuh daya tahan negara, kemakmuran bersama dan kesejahteraan sosial,” katanya. – UTUSAN









