KUALA LUMPUR: Lima prototaip mesin hasil semula plastik berasaskan kecerdasan buatan (AI) dibangunkan pelajar universiti menerusi GREAT Innovation Challenge (GIC) bagi menukar sisa plastik kepada produk bernilai.
Pertandingan anjuran Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Centre for Artificial Intelligence and Robotics (CAIRO), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) itu bertujuan mencari penyelesaian praktikal terhadap isu pencemaran plastik.
Program berskala nasional itu bermula pada September 2025 dengan fasa idea dan reka bentuk sebelum diteruskan pada tahun ini dengan pembinaan prototaip serta ujian penggunaan sebenar.
Sebanyak 32 penyertaan diterima daripada universiti awam dan swasta seluruh negara, sebelum 12 pasukan disenarai pendek dan lima pasukan diberi geran prototaip bernilai RM8,000 setiap satu.
GIC memberi fokus kepada pembangunan mesin mudah alih, cekap dan separa automatik yang dipertingkat AI untuk menukar sisa plastik jenis Polietilena Ketumpatan Tinggi (HDPE) dan Polipropilena (PP) kepada produk bernilai tinggi.
Wakil Lantikan Great Eastern Takaful, Jasveen Kaur Marne berkata, pertandingan itu membuktikan inovasi berasaskan teknologi boleh membantu mencipta perubahan bermakna kepada alam sekitar dan masyarakat.
Katanya, program itu juga kesinambungan inisiatif upcycling GETB yang dimulakan sejak 2022 dan telah memberi kesedaran kepada lebih 13,000 pelajar serta orang awam mengenai amalan kitar dan hasil semula.
“GREAT Innovation Challenge menyatukan pendidikan, teknologi dan kelestarian dalam satu platform yang menggalakkan pemikiran kreatif serta inovatif.
“Kami mahu memperkasa generasi muda dengan kemahiran dan minda masa hadapan supaya mereka mampu menghasilkan ciptaan berteraskan nilai dan tanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad berkata, pertandingan itu menjadi platform kepada pelajar untuk menterjemahkan idea kepada inovasi nyata yang praktikal, berskala besar dan berimpak tinggi.
Majlis Penutup dan Pameran Akhir GIC berlangsung di Residensi Grand Banquet Hall, UTM Kuala Lumpur, di sini, hari ini, dengan penyertaan pelajar, pakar industri, pemimpin akademik, juri teknikal dan rakan strategik.
Pasukan Vanta dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama dan membawa pulang RM12,000 menerusi penyelesaian inovatif yang menampilkan fungsi kukuh serta kebolehgunaan dunia sebenar.
Tempat kedua dimenangi Green AI Innovator dengan hadiah RM8,000, manakala PVD menerima RM5,000 selepas meraih tempat ketiga, selain Codespark dan Monoglobal menerima hadiah saguhati. – UTUSAN










