KUALA LUMPUR: Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan susulan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Seputeh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang dilaporkan seolah-olah menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerajaan dalam masa sama akan terus meningkatkan usaha melalui pendidikan bagi memastikan kefahaman terhadap kedudukan serta penghormatan terhadap para sahabat Rasulullah SAW sentiasa terpelihara.
“Di pihak kami, sekiranya berkenaan dengan tindakan undang-undang, kita serahkan kepada pihak berkuasa.
“InsyaAllah, kita akan berdayakan lagi program-program untuk kita perbetulkan dan juga untuk program-program yang dapat menanamkan kecintaan kita kepada para sahabat dan baginda Rasulullah SAW,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) Ke-32, di sini hari ini.
Tambah Zulkifli, masyarakat juga diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan atau kenyataan, khususnya melibatkan perkara berkaitan agama.
“Umumnya kita ingin menasihatkan supaya lebih berhati-hati memberikan pandangan ataupun apabila kita menyebut tentang fakta seeloknya kita pastikan kesahihannya.
“Lebih-lebih lagi kepada pemimpin dan mereka yang mempunyai pengikut yang ramai kerana ia boleh mengelirukan,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli enggan mengulas spekulasi politik yang mengaitkan beliau sebagai calon di Parlimen Hulu Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
“Jadi (buat masa sekarang) saya nak fikirkan untuk memberikan manfaat, kebaikan dan kebajikan sebaiknya kepada seluruh rakyat Malaysia. Kita tak fikir pasal itu,” katanya. – UTUSAN










