SYDNEY: Syarikat The Trump Organization memaklumkan membatalkan rancangan membina menara pertamanya di Australia kurang tiga bulan selepas perjanjian dimeterai, mendakwa rakan kongsi tempatan gagal memenuhi beberapa kewajipan kewangan.
Kumpulan itu menandatangani perjanjian pada Februari dengan Altus Property Group untuk membangunkan pencakar langit 91 tingkat bernilai 1.5 billion dolar Australia (RM4.26 bilion) di Gold Coast, destinasi pelancongan tepi pantai popular di negeri Queensland.
Trump Organization berkata, projek itu bergantung kepada pematuhan beberapa syarat oleh rakan pelesenan, Altus, namun kewajipan tersebut tidak dipenuhi.
Ia turut memaklumkan akan meneroka projek lain yang berpotensi untuk membangunkan hartanah berjenama Trump di Australia dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif Altus Property Group, David Young memberitahu CNN, perang Iran dan beberapa isu lain menyebabkan jenama Trump semakin tidak popular di Australia.
“Cukuplah saya katakan bahawa dengan perang Iran dan segala yang berlaku, jenama Trump semakin tidak disenangi di Australia,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam hantaran di LinkedIn pada Selasa, Young menyifatkan reaksi negatif terhadap projek Trump Tower itu sebagai amat tidak adil, namun mengakui jenama tersebut kini menjadi ‘toksik’ kepada rakyat Australia.
Beliau berkata, The Trump Organization bukan organisasi politik dan dikendalikan oleh Eric Trump serta Donald Trump Jr., bukannya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sendiri.
Menurutnya, syarikat itu menguruskan lebih 136 resort dan menara di seluruh dunia, tetapi media Australia dan beberapa pihak tertentu menggambarkan Trump secara sensasi.
Young turut menegaskan tiada perselisihan antara dirinya dan keluarga Trump, serta memaklumkan beliau kini sedang berbincang dengan beberapa pihak berkaitan pelan pembangunan mewah baharu untuk menara tersebut.
Bagaimanapun, jurucakap The Trump Organization mendakwa selepas berbulan-bulan rundingan dan ‘janji kosong’ berkaitan projek itu, Altus gagal memenuhi kewajipan kewangan paling asas ketika pelaksanaan perjanjian.
Menurut jurucakap itu lagi, Young menyalahkan beberapa peristiwa dunia atas pembatalan projek tersebut, namun dakwaan itu disifatkan sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada kegagalan syarikatnya sendiri.
Akhbar Australian Financial Review melaporkan pembangunan itu akan diteruskan tanpa menggunakan nama Trump dan memetik Young menafikan wujudnya kegagalan memenuhi kewajipan.
Altus sebelum ini mencadangkan pembangunan melibatkan resort hotel enam bintang, 270 apartmen, pusat beli-belah, kelab pantai dan kolam renang, dengan harga apartmen dijangka bermula dari 5 juta dolar Australia (RM14.2 juta).
Sebahagian penduduk Gold Coast turut membantah projek itu menerusi petisyen dalam talian yang mengumpulkan lebih 140,000 tandatangan.
Petisyen tersebut menyatakan mereka amat tidak selesa dengan jenama Trump dan apa yang diwakilinya.










