Isu pengislaman 137 Orang Asli Bateq perlu dibicarakan

Isu pengislaman 137 Orang Asli Bateq perlu dibicarakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa permohonan 137 Orang Asli etnik Bateq Mayah bahawa mereka tidak pernah memeluk agama Islam dari awal lagi perlu didengar dan diputuskan melalui perbicaraan penuh.

Selain itu, isu berhubung bidang kuasa mahkamah sivil untuk mendengar mengenai pengislaman Orang-Orang Asli itu juga diperintahkan untuk diputuskan melalui perbicaraan penuh.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab dan Datuk Nadzarin Wok Nordin memutuskan demikian selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan terkhilaf apabila membuat keputusan secara terus (summarily).

Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan ketika itu, Datuk Seri Mohd Radzi Harun diputuskan secara terus melalui afidavit

“Kami berpandangan bahawa, disebabkan terdapat pertikaian, isu (bidang kuasa mahkamah) tidak boleh diputuskan secara terus. Pada pandangan kami, ia perlu diputuskan di akhir perbicaraan penuh.

“Sehubungan itu, kami mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah bercanggah apabila memutuskan bahawa pengislaman 137 responden adalah void ab initio (terbatal dari awal) dan turut menyatakan bahawa isu pengislaman mestilah diputuskan di akhir perbicaraan penuh.

“Oleh itu, kami mengetepikan penghakiman dan keputusan oleh Mahkamah Tinggi. Isu bidang kuasa perlu diputuskan melalui perbicaraan. Hanya selepas itu, isu pengislaman semua atau sebahagian responden boleh diputuskan,” kata Hakim Mohd. Firuz.

Kesemua plaintif (Orang Asli) telah memfailkan saman pada 9 September 2022 yang mendakwa mereka telah diislamkan secara tidak sah dan memohon perintah untuk membatalkan status agama mereka.

Saman itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuantan pada September ini.

Pada prosiding hari ini, perayu, Pejabat Kemajuan Orang Asli Daerah Lipis, Bakar Unus, Ketua Pengarah Orang Asli, Jabatan Kemajuan Orang Asli, MUIP, Kerajaan Pahang dan Kerajaan Malaysia diwakili peguam Norasli Nordin manakala kesemua responden diwakili peguam, N. Surendra Ananth.

Pada 28 September 2022, plaintif (137 orang Asli) mendakwa pengislaman beramai-ramai yang dilakukan pada April 1993 iaitu kira-kira 30 tahun lalu di Kampung Benchah Kelubi, Kuala Lipis tanpa persetujuan mereka.

Plaintif terdiri daripada 87 orang dewasa dan 50 remaja serta kanak-kanak berusia di dua hingga 18 tahun, pada waktu permohonan tersebut difailkan. Seramai 58 daripada 87 plaintif dewasa telah meninggal dunia. Kebanyakan plaintiff merupakan anak dan cucu kepada 56 Orang Asli yang lain.

Menurut pernyataan tuntutan, sekitar 1993, dua pemimpin etnik tersebut didakwa diminta untuk menghadiri kursus di Kuantan dan semasa mengikuti kursus mereka diminta untuk menganut agama Islam dan mengajak penduduk lain untuk berbuat perkara sama.

Permintaan tersebut disampaikan kepada penduduk kampung namun ditolak oleh mereka yang masih mengamalkan kepercayaan budaya dan agama animisme.

Bagaimanapun, pada April 1993, defendan pertama telah membuat beberapa lawatan ke kampung berkenaan dan didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan kepada penduduk kampung yang mana mereka tidak lagi akan dibenarkan tinggal di kampung berkenaan dan segala harta-benda serta tanaman akan dimusnahkan sekiranya enggan memeluk agama Islam.

Hanya sekitar tahun 2000 iaitu selepas lebih ramai penduduk kampung mempelajari asas bahasa Melayu sekurang-kurangnya pada aras rendah, barulah kesemua plaintiff mengetahui maksud dan implikasi perkataan `Islam’ yang ada pada kad pengenalan masing-masing dan nama mereka juga telah ditukarkan.

Sehubungan itu, kesemua plaintif memohon satu deklarasi bahawa kesemua 137 Orang Asli tersebut dan kesemua anak-anak mereka yang dilahirkan selepas tindakan undang-undang ini bukan beragama Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN