Persamaan nilai, warisan dan bahasa antara Malaysia dan China terus menjadi penghubung penting dalam mengeratkan hubungan dua negara, khususnya dalam kalangan belia yang mendalami budaya masing-masing.
Bagi pelajar daripada Beijing Foreign Studies University (BFSU), China, penguasaan bahasa Melayu bukan sekadar proses akademik, sebaliknya membuka ruang lebih luas untuk memahami sejarah, adat dan jiwa masyarakat Malaysia.

Seorang pelajar jurusan bahasa Melayu daripada universiti berkenenaan, Wu Yitong berkata, hubungan budaya antara kedua-dua negara amat dekat, khususnya melalui warisan masyarakat Hokkien.

Menurutnya, sebagai individu berketurunan Hokkien yang mempunyai nenek moyang di Malaysia, dia melihat pertalian budaya kampung halamannya dengan Malaysia sangat erat.
“Tradisi wangkang yang dikenali sebagai upacara menghantar ‘kapal raja’ sebagai penghormatan kepada dewa laut menjadi contoh jelas hubungan budaya rentas negara.

“Pada tahun 2023, China dan Malaysia bersama-sama mempromosikan budaya wangkang sehingga ia berjaya diiktiraf sebagai warisan budaya UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bangsa Bersatu ” katanya ketika ditemui semasa Majlis Jalinan Mesra Belia Malaysia-China, di ibu negara baru-baru ini.
Dalam pada itu, Wu Yitong turut menyatakan perjalanan mempelajari bahasa Melayu ada cabaran tersendiri, khususnya dari sudut sebutan.
“Perkara paling sukar bagi saya adalah untuk menyebut huruf ‘R’. Saya berlatih setiap hari bersama pensyarah dan guru, mereka banyak membantu saya untuk menguasai sebutan tersebut dengan lebih baik.
“Saya percaya bahasa adalah jambatan peradaban,” katanya.
Selain itu, seorang lagi pelajar dari BFSU, Sun Zichang berkata, meski pun budaya Melayu dan China berasal daripada latar berbeza, namun kedua-duanya berkongsi nilai sejagat yang hampir sama.
“Konsep kesederhanaan dalam budaya Melayu mempunyai persamaan dengan nilai zhongyong dalam budaya China yang turut menekankan keseimbangan dan kesederhanaan hidup,” katanya.
Sun yang kini mengikuti pengajian sarjana bahasa Melayu berkata, dia telah mempelajari bahasa itu hampir enam tahun sejak sebelum melanjutkan pengajian ke universiti lagi.
Menurutnya, pembelajaran pada peringkat awal banyak menumpukan kepada penulisan, bacaan dan lisan sebelum diteruskan dengan pemahaman lebih mendalam mengenai budaya serta situasi masyarakat Malaysia.
Pandangan itu turut dipersetujui Zhan Puyuan yang juga merupakan salah seorang pelajar dari BFSU yang melihat persamaan melalui peribahasa dan falsafah hidup masyarakat kedua-dua negara.
Katanya, persamaan itu membuktikan bahawa masyarakat Malaysia dan China berkongsi kebijaksanaan hidup yang diwarisi turun-temurun melalui ungkapan berbahasa.

“Peribahasa Melayu seperti ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ dan ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ mempunyai maksud hampir serupa dengan peribahasa dalam budaya China,” katanya.
Puyuan turut menyifatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mempunyai makna mendalam sehingga mendorongnya mempelajari bahasa, budaya dan sejarah Melayu sekurang-kurangnya lima jam setiap hari.
Malah, dia juga menghasilkan sebuah pantun ciptaannya sendiri sebagai lambang penghargaan terhadap hubungan belia Malaysia-China dan keyakinannya bahawa bahasa mampu membina tamadun yang sejati.

Sementara itu, seorang pelajar lain daripada BFSU, Yang Xiaorui berkata, kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia mengingatkannya kepada keharmonian 56 etnik di China yang hidup bersama secara aman.
Katanya, pengalaman berada di Malaysia melalui program mobiliti di Universiti Malaya (UM) membuka matanya terhadap keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Saya lihat persamaan menerusi budaya melayan tetamu, apabila masyarakat di China menghargai tetamu melalui jamuan teh, manakala masyarakat Melayu pula terkenal dengan layanan mesra serta hidangan makanan yang pelbagai,” katanya.
Menurutnya, cabaran terbesar dalam mempelajari bahasa Melayu ialah memahami imbuhan selain menyesuaikan diri dengan penggunaan ‘bahasa pasar‘ dalam komunikasi harian masyarakat tempatan.
Seterusnya, seorang lagi pelajar dari BFSU, Gao Diliang berkata, sambutan perayaan utama di Malaysia dan China juga mempunyai banyak persamaan dari segi semangat kekeluargaan dan kebersamaan.
“Budaya pemberian duit raya ketika Hari Raya Aidilfitri dan pemberian hongbao semasa Tahun Baharu Cina membuktikan kedua-dua masyarakat berkongsi nilai kasih sayang terhadap generasi muda. “Konsep rumah terbuka di
Malaysia juga hampir sama dengan budaya kunjung-mengunjung di China ketika musim perayaan,” katanya.- UTUSAN










