PETALING JAYA: Setiap pelaburan asing yang masuk ke negara ini perlu memberi manfaat kepada rakyat tempatan termasuk memperkukuh syarikat kecil dan sederhana (PKS), meningkatkan kemahiran anak watan serta mengangkat taraf hidup masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan yang diterima negara tidak boleh sekadar mencatat angka besar semata-mata, sebaliknya perlu berakar di bumi Malaysia dan membantu membina keupayaan ekonomi domestik.
“Kejayaan ekonomi tidak boleh diukur semata-mata melalui angka besar di atas kertas. Pertumbuhan mesti dirasai peniaga kecil, pekerja biasa, anak muda yang mencari pekerjaan bermaruah serta rakyat di desa dan pedalaman.
“Kerana itu Kerajaan Madani membawa agenda pembangunan yang berpaksikan keadilan sosial dan berusaha memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya ketika mempengerusikan Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 12 di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia malam tadi.
Forum berkenaan memfokuskan kepada persoalan mengenai bagaimana Malaysia menempatkan diri secara lebih ampuh dalam arus baharu aliran modal global.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia kini berada pada persimpangan penting ketika arus modal global sedang berubah dan ketahanan ekonomi semakin menjadi sebahagian daripada daya saing negara.
Katanya, reformasi, tatakelola, disiplin fiskal serta keberanian membina keupayaan nasional perlu terus diperkukuh bagi memastikan negara kekal berdaya tahan.
“Insya-Allah, Kerajaan Madani akan terus berusaha agar kemajuan negara bukan sahaja terpancar pada angka makro, tetapi benar-benar dirasai dalam kehidupan rakyat di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










