PETALING JAYA: Insiden rusuhan dan ketidaktentuan politik lazimnya memberi kesan negatif yang ketara terhadap sektor pelancongan serta aliran pelaburan asing sekali gus menjejaskan keyakinan pelancong dan pelabur terhadap keselamatan serta kestabilan ekonomi sesebuah negara.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, keadaan tidak stabil akan menimbulkan kebimbangan keselamatan dalam kalangan pelancong antarabangsa sehingga membawa kepada pembatalan lawatan.
Katanya, situasi itu turut menyebabkan penurunan permintaan terhadap perkhidmatan penginapan dan pengangkutan sekali gus mengakibatkan kerugian ekonomi kepada perniagaan tempatan.
“Untuk pelaburan, ketidakstabilan politik mencerminkan risiko tinggi yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur, menyebabkan pelaburan asing ditangguhkan atau ditarik balik, nilai mata wang merosot dan kadar pertumbuhan ekonomi terjejas.
“Kesannya, imej negara di peringkat global mungkin tercemar sekali gus menyukarkan proses pemulihan jangka panjang dalam aspek daya saing serta kemampanan ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, rusuhan di ibu negara Indonesia, Jakarta dan beberapa bandar di negara menyebabkan balai polis dan kemudahan awam menjadi sasaran tindakan vandalisme selepas protes berhari-hari bertukar ganas.
Mengulas kedatangan pelancong ke Indonesia, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Acara, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Hasan Mohamed Zakaria berkata, rusuhan yang berlaku memberi impak terhadap ketibaan pelancong asing dan ekonomi pelancongan terutama dalam tempoh terdekat.
Katanya, analisis rentas negara menunjukkan ketidakstabilan politik dan ancaman keselamatan lazimnya memperlahankan pembangunan pelancongan meskipun dalam sesetengah keadaan kesannya lebih ketara untuk jangka pendek.
“Kajian turut menunjukkan kewujudan spillover atau pertukaran destinasi apabila pelancong beralih ke negara jiran yang lebih selamat jika risiko di sesuatu negara meningkat.
“Secara praktikal, ini bermaksud rusuhan yang berlarutan dan menular ke kawasan tumpuan pelancongan seperti Jakarta dan Bali akan memberi impak lebih besar berbanding insiden yang cepat dipulihkan dan hanya terhad di lokasi tertentu,” katanya.
Hasan berkata, pelancong membuat keputusan berdasarkan persepsi risiko, imej destinasi serta niat untuk melawat sekali gus menjadikan aspek keselamatan faktor utama yang mempengaruhi pilihan mereka.
Katanya, amaran perjalanan, makluman kedutaan, liputan media dan gambaran keselamatan di kawasan pelancongan turut membentuk persepsi pelancong terhadap keadaan semasa di sesebuah destinasi.
“Sebaliknya, langkah keselamatan yang jelas, pembahagian zon kawasan sensitif serta maklum balas pihak berkuasa yang telus dalam pelbagai bahasa mampu menurunkan kebimbangan pelancong,” katanya. – UTUSAN










