KUALA LUMPUR: Peguam Negara perlu dipertanggungjawabkan untuk hadir ke Parlimen sekiranya pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan kelak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Peguam Negara sepatutnya berada di Parlimen dan bertanggungjawab memberikan penjelasan secara langsung, bukannya hanya menyediakan jawapan untuk dibacakan oleh pihak menteri.
“Hari ini, siapa jawab bagi pihak Peguam Negara di Parlimen? Menteri Undang-Undang. Saya jawab bagi pihak beliau.
“Adakah adil untuk saya menjawab perkara yang saya tidak tahu atau tidak mempunyai pengetahuan penuh mengenainya?
“Saya mungkin tidak menipu kerana hanya membaca teks yang disediakan, tetapi saya tidak boleh memberikan jawapan lebih daripada apa yang ditanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Perjumpaan Awam (townhall) Kerangka Akauntabiliti Madani di Akademi Perundangan Negara (APN), Bandar Baru Bangi, hari ini.
Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan pemisahan fungsi jawatan itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) pada 18 Mei ini sebelum ia dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.
Mengikut dokumen RUU tersebut, pindaan itu bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pelantikan seorang Pendakwa Raya selaras dengan pengasingan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara.
Ia juga untuk mengadakan peruntukan lindung jamin bagi Pendakwa Raya dan untuk meminda perkara berkaitan selaras pengasingan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara.
Selain itu, Fasal 2 pula bertujuan untuk meminda Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berhubung kuasa pengampunan dan Peguam Negara ialah anggota Lembaga Pengampunan bagi setiap negeri. – UTUSAN










