PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengalu-alukan ahlinya yang dikenakan tindakan disiplin untuk menyertai UMNO tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Ia selepas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi DusukI menyatakan kesediaan untuk menerima sesiapa sahaja tanpa syarat termasuk pimpinan dan ahli Bersatu yang dipecat atau digantung.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, tindakan itu lebih baik daripada mereka yang dikenakan tindakan itu merayau-rayau atau menubuhkan parti baharu yang akan memecah belahkan Melayu-Islam.
“Asyraf Wajdi dialu-alukan menerima ahli-ahli Bersatu yang dikenakan tindakan disiplin menyertai UMNO.
“Berikan mereka (ahli tersebut) jawatan dalam UMNO. Tunaikan janji Kem Zahid Hamidi kepada Kem Hamzah Zainudin untuk menamakannya sebagai calon Timbalan Perdana Menteri bagi UMNO.
“Tak perlu bayar ‘transfer fee’ (yuran perpindah), beri mereka jawatan tinggi. Mungkin mereka akan berubah atau mungkin juga mereka memerlukan parti yang membenarkan mereka melanggar perlembagaan dan disiplin parti, serta memaki hamun presiden dan pemimpin parti setiap hari,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Lembaga Disiplin Bersatu memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, manakala enam lagi wakil rakyat digantung keahlian selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa serta-merta.
Mereka yang dipecat ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab. Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis, kedua-duanya ADUN di Kedah.
Enam wakil rakyat Bersatu yang digantung keahlian pula membabitkan lima Ahli Parlimen dan seorang ADUN iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Turut dikenakan tindakan sama ialah Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd. Zain. – UTUSAN










