KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh agenda kesejahteraan wanita dan keluarga menerusi pelbagai inisiatif baharu yang memberi tumpuan kepada rawatan kesuburan, sokongan pasca bersalin serta pemerkasaan emosi ibu di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pendekatan tersebut dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan kebajikan wanita dan keluarga terus terpelihara.
Menurut beliau, Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Subfertiliti (BUAI) di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjadi antara fokus utama kerajaan pada tahun ini.
“Program itu menyasarkan kira-kira 47,000 pasangan yang menghadapi masalah kesuburan untuk mendapatkan bantuan rawatan seperti Intrauterine Insemination (IUI) dan In Vitro Fertilisation (IVF).
“Keutamaan turut diberikan kepada pasangan daripada kumpulan B40 bagi memastikan akses rawatan lebih inklusif dan menyeluruh,” katanya ditemui pada Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Berangkat ke majlis sambutan itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Sementara itu, Nancy berkata, LPPKN telah mengendalikan lebih 373,000 kes subfertiliti dengan 6,513 kehamilan berjaya direalisasikan menerusi perkhidmatan kesuburan yang disediakan.
“Kerajaan turut memperkenalkan inisiatif sokongan pasca bersalin bagi membantu ibu bekerja menghadapi fasa pemulihan selepas melahirkan anak.
“Inisiatif tersebut merangkumi bantuan kewangan tambahan serta program sokongan kesihatan mental dan emosi bagi mengurangkan tekanan dalam kalangan ibu.
“Dapatan kajian semasa menunjukkan sebahagian besar ibu berdepan kekangan masa untuk diri sendiri khususnya bagi tujuan rehat dan pemulihan emosi,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Pakej Seteguh Kasih Ibu (PSKI) diperkenalkan melibatkan aspek kesihatan, emosi dan kesejahteraan mental secara menyeluruh.
“Pendekatan itu merangkumi saringan awal kanser reproduktif wanita, terapi emosi melalui aktiviti interaktif keluarga serta program relaksasi dan sokongan psikologi ibu,” katanya.
Katanya, kerajaan turut memperkenalkan Anugerah Khas Inspirasi Ibu bagi menghargai wanita yang berjuang mendapatkan zuriat serta menjadi sumber inspirasi kepada pasangan lain.
“Semua inisiatif ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh institusi keluarga serta memastikan tiada ibu yang terpinggir daripada arus pembangunan negara.
“Kerajaan akan terus komited memperkasa wanita dan ibu sebagai tunjang utama masyarakat dan negara,” katanya. – UTUSAN










