12 tahun menanti, pasangan suami isteri syukur timang cahaya mata kembar

12 tahun menanti, pasangan suami isteri syukur timang cahaya mata kembar

TUANKU Zara Salim berkenan menyampai Anugerah Khas Inspirasi Ibu kepada Nurul Zaanizila Mohd Zain sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026 di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas 12 tahun menanti, sepasang suami isteri akhirnya dikurniakan rezeki cahaya mata hasil rawatan kesuburan In-Vitro Fertilisation (IVF) di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Lebih membahagiakan, usaha panjang itu akhirnya membuahkan hasil apabila mereka dikurniakan sepasang cahaya mata kembar yang kini berusia enam tahun, selepas melalui pelbagai ikhtiar dan rawatan untuk mendapatkan zuriat.

Menurut penerima Anugerah Ibu Inspirasi sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, Nurul Zaanizila Mohd Zain, perjalanan mereka untuk bergelar ibu bapa bukan sesuatu yang mudah, namun tetap diteruskan dengan sokongan suami serta keluarga.

“Perkongsian saya sebenarnya bukan untuk bermegah tetapi lebih kepada nak bagi semangat kepada ibu-ibu di luar sana supaya kita sentiasa fikir positif dan insha-Allah kita akan berjaya.

“Suami saya yang minta untuk buat rawatan sekali lagi di LPPKN. Kita mula pada tahun 2019, dan juga melalui kawan saya yang ada di sini iaitu Muhd Nuh yang merupakan kaunselor di LPPKN,” katanya ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Berangkat ke majlis sambutan itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Nurul Zaanizila, 44, berkata, dia pernah menjalani rawatan Intrauterine Insemination (IUI) sekali dan In-Vitro Fertilisation (IVF) sebanyak dua kali, dengan percubaan kedua di LPPKN akhirnya membuahkan hasil.

“Perjalanan IVF ini sangat panjang. Setiap kali nak jumpa doktor, kita akan fikir apa yang doktor nak cakap nanti. Tetapi di LPPKN, mereka tidak memberi tekanan kepada pesakit. Mereka lebih memahami dan memberi ruang kepada kita membuat keputusan,” katanya.

Mengimbas detik menerima berita kehamilan, Nurul Zaanizila berkata, dia melalui tempoh tersebut dengan penuh berhati-hati kerana bimbang berlaku sebarang komplikasi.

“Doa dan zikir memang tak pernah putus sepanjang tempoh kehamilan. Alhamdulillah, saya selamat melahirkan sepasang cahaya mata kembar yang kini sudah berusia enam tahun dan membesar dengan sihat,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Mohd Azren Isa berkata, sokongan dan pendekatan profesional yang diberikan pihak LPPKN banyak membantu mereka sepanjang proses rawatan.

“Servis yang kami terima di LPPKN sangat baik dan berhemah. Mereka sangat menjaga sensitiviti isteri saya ketika menerangkan risiko-risiko rawatan.

“Mereka tidak memberi harapan palsu, tetapi dalam masa sama tidak memadamkan harapan kami. Cara mereka memberi konsultasi sangat baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN