KUALA LUMPUR: Seorang pegawai tentera didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang penumpang lelaki e-hailing warga Bangladesh, minggu lalu.
Tertuduh, Kapten Jad Faid Arhan, 31, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, llli Marisqa Khalizan.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh seorang lelaki warga Bangladesh, Muzahid Millad, 22, di Kilometer 1.9, Lebuh Raya Maju (MEX) dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak, di sini, pada pukul 5.30 pagi, 23 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Jad Faid yang kini digantung tugas didakwa atas dua lagi pertuduhan di hadapan Majistret Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan di Mahkamah Majistret (Trafik) di sini.
Pegawai tentera itu didakwa memandu kereta Ford Fiesta warna putih di bawah pengaruh minuman memabukkan menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan hingga menyebabkan kecederaan parah kepada penumpang wanita, Nafisa Tabassum Adiba, 20, yang merupakan isteri Muzahid dan pemandu e-hailing, Jailani Sapih, 41, di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987, membawa hukuman penjara minimum tujuh tahun atau tidak melebihi 10 tahun, denda minimum RM30,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










