KUALA LUMPUR: Penganjuran Panggung Seni Tradisional (PST) 2026 yang memasuki edisi ke-14 tahun ini menjadi platform penting dalam usaha memelihara dan memperkasakan seni budaya serta warisan tradisional negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, penganjuran program itu selaras dengan dasar kementerian untuk terus memacu sektor pelancongan dan kebudayaan yang berdaya saing dan lestari demi pembangunan sosioekonomi negara.
Menurut beliau, pihaknya komited dalam memperkasa produk serta program pelancongan dan kebudayaan ke arah memperkukuh jati diri bangsa Malaysia.
“Dalam usaha merancakkan lagi ekonomi negara, MOTAC sentiasa berusaha meningkatkan sinergi dan kerjasama strategik antara penggiat sektor pelancongan dengan pemain industri kebudayaan bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama di peringkat dunia.
“Keunikan seni, budaya dan warisan negara akan terus diperkasakan sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan kebudayaan negara,” katanya ketika merasmikan PST 2026 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini, kelmarin.
Beliau berkata, PST merupakan manifestasi komitmen Malaysia dalam melindungi warisan budaya tidak ketara selaras dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara yang memberi fokus kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya.
“Program ini turut berperanan sebagai medium persembahan kesenian tradisional pelbagai kaum di Malaysia serta membuka ruang kepada kumpulan, persatuan, institusi pendidikan dan penggiat seni untuk bersama-sama menyemarakkan kegemilangan kesenian tradisional negara.
“Pelaksanaan PST dari tahun 2013 hingga 2025 telah mencatatkan penglibatan sebanyak 74 kumpulan dan persatuan yang merangkumi pelbagai genre seni seperti tarian, muzik dan teater.
“Sepanjang tempoh tersebut, seramai lebih 4,000 orang peserta telah menggembleng tenaga sebagai tenaga produksi PST.
“Malah, rekod kutipan jualan tiket telah mencecah RM500,000 sekali gus memberikan suntikan dana yang amat bermakna bagi menyokong kumpulan-kumpulan ini untuk terus berkarya,” katanya.
Beliau berkata, selepas sekian lama tertumpu di Kuala Lumpur, PST mula diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada tahun lalu bagi memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat menyaksikan persembahan seni tradisional.
“Program kali ini akan dilaksanakan di MaTiC, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan dan juga JKKN Melaka,” katanya.
Shaharuddin berkata, sambutan yang diterima pada malam pembukaan PST 2026 amat menggalakkan.
“Sambutan amat menggalakkan untuk program pada malam ini. Jadi kami harapkan program-program seperti ini boleh diteruskan pada masa-masa akan datang untuk kita memelihara dan juga mengekalkan seni budaya terutamanya tarian-tarian tradisional kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, pihaknya menjangkakan seramai 2,000 pengunjung menghadiri empat siri pementasan PST 2026 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Tahun ini merupakan tahun kedua kita berada di luar Kuala Lumpur. Kami tidak pasti bagaimana sambutan di Negeri Sembilan dan Melaka, namun dengan promosi dan publisiti yang baik, kami menjangkakan PST 2026 akan terus mendapat sambutan.
“Sebenarnya ini merupakan satu-satunya platform yang kita gunakan untuk menyerlahkan elemen-elemen tradisi bukan sahaja dalam bidang teater, malah muzik dan tari.
“Dengan adanya platform seperti ini, ia mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri terutama kepada mereka yang masih meminati dan menghargai elemen-elemen tradisi,” katanya.
Katanya, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan kesinambungan seni tradisi dalam bidang tari, muzik dan teater terus dipelihara serta diketengahkan kepada khalayak ramai. – UTUSAN










