PETALING JAYA: Sindiket penyelewengan bahan api bersubsidi didapati mula berwaspada ketika melakukan aktiviti mereka susulan langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meningkatkan operasi penguatkuasaan Op Tiris 4.0.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, ia termasuklah menerusi langkah rondaan bermotosikal serta penyamaran dengan berpakaian preman yang dilakukan oleh anggota KPDN bagi melakukan pemantauan termasuk di stesen-stesen minyak.
“Kami buat rondaan mengejut dan niat kami satu iaitu bagi memastikan tiada sebarang seleweng subsidi berlaku kerana subsidi ini perlu sampai kepada golongan sepatutnya,” katanya selepas mengetuai skuad rondaan bermotosikal KPDN Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mohd. Sabri berkata, pasukan rondaan bermotosikal dan berpakaian preman itu bergerak sepanjang 24 jam bagi mengekang kegiatan penyelewengan khususnya diesel.
Katanya, menerusi operasi bermula kira-kira pukul 11.30 malam semalam, lebih 20 stesen minyak diperiksa selain memantau penggunaan kad fleet serta pembelian meragukan.
“Malam ini tiada apa-apa dikesan mungkin kerana inisiatif rondaan bermotosikal dilakukan menyebabkan sindiket mula berhati-hati atau sedang merencanakan modus operandi baharu.
“Walau apa pun modus operandi dicipta dan dilakukan, KPDN Kuala Lumpur akan terus waspada dan berusaha mengesan kegiatan penyelewengan diesel dan petrol subsidi ini,” ujarnya.
Tambahnya, sepanjang Op Tiris 4.0 dilaksanakan bermula 15 Mac lalu, KPDN Kuala Lumpur merekodkan sembilan kes dengan rampasan bernilai RM400,000 membabitkan diesel dan gas petroleum cecair (LPG).
“Empat kes sudah dituduh di mahkamah iaitu tiga kes diesel dan satu kes LPG,” ujarnya. – UTUSAN










