PETALING JAYA: Kadar inflasi negara meningkat kepada 1.9 peratus pada April berbanding 1.7 peratus yang direkodkan Mac lalu, berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kadar inflasi Malaysia masih berada pada tahap sederhana dan terkawal berbanding beberapa negara serantau dan ekonomi utama dunia.
Katanya, antaranya seperti Filipina pada 7.2 peratus, Vietnam (5.5), Indonesia (2.4) dan Korea Selatan (2.6).
“Peningkatan inflasi domestik itu terutama dipengaruhi oleh kumpulan pengangkutan yang meningkat daripada 1.6 peratus pada Mac 2026 kepada 4.1 peratus pada April 2026.
“Faktor utama peningkatan tersebut adalah kenaikan purata harga diesel di Semenanjung kepada RM5.92 seliter berbanding RM4.12 pada Mac lalu, selain kenaikan harga RON97 kepada RM5.06 seliter berbanding RM4.03 sebelum ini.
“Kumpulan maklumat dan komunikasi turut meningkat kepada 2.0 peratus berbanding 1.4 peratus pada bulan sebelumnya, dipengaruhi antara lain oleh kenaikan harga yuran langganan televisyen berbayar dan bil pascabayar talian telefon bimbit,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, kumpulan utama lain seperti makanan dan minuman serta perumahan masih kekal terkawal dan tidak mencatat perubahan ketara.
“Keadaan tersebut menunjukkan tekanan inflasi domestik masih tertumpu kepada komponen tertentu dan belum merebak secara menyeluruh kepada perbelanjaan isi rumah,” katanya. – UTUSAN










