ALOR SETAR: Pas mempunyai proses tersendiri dalam membuat keputusan termasuk membawa sebarang perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN) untuk diputuskan di peringkat parti terlebih dahulu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, amalan tersebut bukan sahaja dilaksanakan ketika berada dalam PN tetapi sudah lama diterapkan termasuk sepanjang dalam Pakatan Rakyat dahulu.
Katanya, Pas terikat dengan keputusan oleh Majlis Syura Ulama yang menentukan polisi parti, selain keputusan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat yang turut mengikat pimpinan Pas dengan dasar-dasar parti berkenaan.
“Saya ada baca pandangan orang kata Pas pergi mesyuarat PN dan keputusan sudah dibuat di situ, apa lagi yang tak puas hati. Tapi sebenarnya dalam mana-mana gabungan Pas sertai keputusan tidak dibuat di mesyuarat itu.
“Kita bincang, runding apa yang tak selesai bawa balik kepada parti untuk dibincang dan kemudian diambil keputusan parti bawa balik ke mesyuarat gabungan akan datang, itu proses yang berlaku,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Lembu Korban di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi menjelaskan, Pas juga tidak pernah memberi persetujuan terhadap tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik akuan bersumpah (SD) dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan sebelum ini.
Ujar beliau, perkara berkenaan hanya dimaklumkan dalam mesyuarat PN sebagai penjelasan daripada Bersatu dan bukannya keputusan bersama dalam gabungan tersebut.
“Kita tanya kenapa dua ADUN Bersatu di Negeri Sembilan tarik SD, dimaklumkan dalam mesyuarat bahawa Biro Politik Bersatu buat keputusan itu kerana UMNO tarik balik SD, UMNO tak tahu lagi nak tarik bila jadi Bersatu tarik dulu.
“Itu penjelasan, bukan keputusan tapi nak tanya apa lagi kerana mereka sudah buat keputusan. Jadi Pas tidak buat persetujuan kepada langkah itu,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung situasi politik melibatkan hubungan parti itu dan Bersatu merupakan pendirian rasmi parti selepas dibincangkan dalam organisasi Pas.
“Prinsip kita kekal, jelas dan kukuh sebab kita tak pergi sana (mesyuarat PN) kita buang baju Pas kita pakai baju PN dan buat ikut suka, tak boleh kerana Pas tetap Pas yang tak akan londeh dasar parti, mana yang boleh berunding selesai di situ kalau tak boleh bawa balik kepada parti,” katanya.
Menyentuh perkembangan kerajaan negeri yang ditunjangi Pas dan Bersatu, beliau berkata, pentadbiran Kedah masih berjalan lancar walaupun terdapat beberapa isu melibatkan wakil rakyat Bersatu di negeri itu. – UTUSAN










