PETALING JAYA: Pas melarang semua pimpinan dan ahlinya daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan berhubung perkembangan terkini yang melibatkan pihak lain dengan parti itu tanpa kebenaran khas.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, larangan itu terpakai kepada semua saluran media dan komunikasi.
Beliau berkata, semua pihak juga diminta kekal tenang dan menyerahkan perkara berkenaan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta kepimpinan parti untuk diuruskan dalam masa terdekat.
“Pas meminta semua pimpinan dan ahli agar tidak membuat sebarang kenyataan ataupun ulasan mengenai perkembangan terkini yang melibatkan pihak-pihak lain dengan Pas dalam mana-mana saluran media atau komunikasi melainkan dengan kebenaran khas parti.
“Semua pihak diminta kekal tenang dan menyerahkan perkara seumpama ini kepada Tuan Guru Presiden dan kepimpinan parti yang akan menguruskannya dengan cermat dalam waktu terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Pas sedang meneliti semula hubungan dan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), termasuk kemungkinan bergerak tanpa parti itu sekiranya gagal mencapai kata sepakat.
Abdul Hadi berkata, semua aspek melibatkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) sedang dikaji secara menyeluruh berdasarkan pengalaman pilihan raya lalu.
Menjawab kenyataan itu, Bersatu memaklumkan perkara berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Biro Politik serta Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk diteliti secara mendalam dalam masa terdekat.
Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, langkah itu bagi membolehkan parti menilai secara menyeluruh pendirian berhubung kerjasama politik dalam PN. – UTUSAN










