Lihat apa jadi apabila Melayu tidak bersatu - Utusan Malaysia

Lihat apa jadi apabila Melayu tidak bersatu

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya orang Melayu bersatu-padu, ia adalah demi kepentingan semua, terutama negara kita yang tercinta ini.

Ia tidak perlu disalah tafsir seperti mana titah baginda, semua pihak sepatutnya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu yang membuka ruang kepada orang lain untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa di tanah air sendiri.

Lihatlah apa yang berlaku kepada negara kita sekarang apabila orang Melayu berpecah-belah melalui pelbagai parti yang mewakili kaum ini?

Seperti mana titah Sultan Sharafuddin Idris Shah, ambil iktibar daripada sejarah. Cuba tanya diri kita, kenapa selepas merdeka hingga ke awal tahun 2000-an, negara kita mengorak langkah cukup pantas. Menjadi antara ekonomi yang pesat berkembang. Hingga satu masa digelar Harimau Asia. Dalam tempoh sekitar 50 tahun, negara kita berjaya dibangunkan menjadi kuasa ekonomi kedua terkuat di Asia Tenggara.

Cuba Imbau balik kenapa itu boleh berlaku? Sebabnya, wujud kestabilan politik yang ditunjangi parti Melayu. Walaupun berlaku perpecahan ketika itu, tetapi masih di peringkat minimum.

Namun, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 mencatat sejarah besar di mana Barisan Nasional (BN) tumbang dan Pakatan Harapan (PH) dianggap sebagai penyelamat yang membawa gelombang perubahan rakyat terhadap isu rasuah, kos sara hidup dan ketidakpuasan terhadap kepimpinan negara.

Di sebalik catatan bersejarah itu, muncul satu persoalan besar yang terus menghantui politik Malaysia sehingga hari ini — mengapa politik negara menjadi semakin tidak stabil selepas PRU14?

Jawapan yang tidak boleh dinafikan adalah disebabkan perpecahan politik Melayu. Sejak 2018, landskap politik negara menyaksikan orang Melayu berpecah kepada pelbagai blok politik.

Sehingga tiada satu gabungan yang benar-benar dominan. Keadaan ini bukan sahaja mencetuskan ketidakstabilan kerajaan, malah memberi kesan kepada ekonomi, keyakinan pelabur dan masa depan politik negara.

Sebelum PRU14, majoriti undi Melayu banyak tertumpu kepada UMNO yang menjadi tunjang BN, selain sebahagiannya kepada Pas. Walaupun terdapat sokongan kepada Pas dan parti-parti pembangkang lain, tetapi majoriti Melayu masih berada dalam satu paksi utama.

Kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi faktor penting memecahkan undi Melayu tradisional UMNO. Dalam PRU14, orang

Melayu tidak lagi mengundi secara kolektif di bawah satu gabungan. Sebahagian menyokong Pakatan Harapan, sebahagian kekal bersama Barisan Nasional dan sebahagian lagi memilih Pas.
Perpecahan itu diakui oleh Dr. Mahathir yang berkata: “Orang Melayu sekarang berpecah kepada terlalu banyak parti sehingga kuasa politik mereka menjadi lemah.”

Akibatnya, walaupun PH berjaya membentuk kerajaan, ia sebenarnya tidak memiliki dominasi mutlak sokongan Melayu. Ini menyebabkan kerajaan yang dibentuk sentiasa terdedah kepada tekanan politik dan isu legitimasi.

Naratif ‘tidak cukup Melayu’ dimainkan secara agresif sehingga menimbulkan keresahan politik berpanjangan. Dan ketidakstabilan itu akhirnya memuncak pada tahun 2020 menerusi peristiwa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Ia menyaksikan sejarah baharu negara yang dilakar oleh PH hanya mampu bertahan 22 bulan. Peristiwa ini menjadi bukti jelas bahawa perpecahan politik Melayu telah menyebabkan kerajaan tidak lagi stabil walaupun baru dua tahun mentadbir.

Sebahagian daripada puncanya adalah akibat perpecahan Melayu dalam Bersatu seperti mana yang dinyatakan oleh Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin: “Politik Melayu hari ini terlalu banyak perebutan kuasa berbanding perjuangan rakyat.”

Selepas itu, Malaysia memasuki era pertukaran kerajaan yang pantas. Muhyiddin menjadi perdana menteri melalui gabungan PN. Namun kerajaan beliau juga tidak bertahan lama akibat perebutan kuasa dan perselisihan dalaman.

Tidak lama kemudian, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Menjadikan satu lagi sejarah tercipta di Malaysia iaitu memiliki tiga perdana menteri dalam tempoh satu penggal.

PRU15 pada tahun 2022 pula memperlihatkan keadaan lebih rumit apabila tiada gabungan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Orang Melayu sekali lagi berpecah kepada beberapa blok utama. Di kawasan majoriti Melayu, pertandingan pelbagai penjuru menyebabkan undi Melayu terus terpecah dan tiada satu parti benar-benar mendominasi.

Akhirnya, sebuah kerajaan perpaduan dibentuk di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan gabungan parti-parti yang sebelum ini saling bertentangan. Walaupun kerajaan perpaduan berjaya mengurangkan risiko kejatuhan kerajaan dalam jangka pendek, perdebatan mengenai penyatuan Melayu masih belum reda.

Ada pihak berpendapat ketidakstabilan politik Malaysia berpunca daripada kegagalan elit politik Melayu mencari titik persamaan demi kepentingan negara.

Politik peribadi, perebutan jawatan dan persaingan kuasa menyebabkan agenda besar orang Melayu sering diketepikan. Akibatnya, rakyat menjadi mangsa apabila kerajaan silih berganti dan dasar negara berubah-ubah.

Dalam masa sama, terdapat juga pandangan bahawa perpecahan Melayu sebenarnya adalah manifestasi demokrasi yang semakin matang. Orang Melayu hari ini tidak lagi mengundi berdasarkan satu parti semata-mata, sebaliknya lebih kritikal terhadap isu ekonomi, integriti dan pentadbiran.

Ini menyebabkan sokongan politik menjadi lebih dinamik dan tidak boleh lagi dimonopoli oleh satu kuasa politik sahaja.

Namun realitinya, ketidakstabilan politik memberi kesan besar kepada negara. Pelabur menjadi lebih berhati-hati, pasaran kewangan mudah terjejas dan pelaksanaan dasar ekonomi sering terganggu.

Ketika negara-negara jiran bergerak pantas menarik pelaburan dan membina ekonomi baharu, Malaysia pula terperangkap dalam konflik politik yang berpanjangan.

Lebih membimbangkan, isu perpaduan Melayu sering digunakan sebagai senjata politik sehingga mewujudkan ketegangan kaum dan sentimen identiti.

Naratif bahawa orang Melayu sedang kehilangan kuasa sering dimainkan bagi meraih sokongan politik. Sedangkan cabaran sebenar negara hari ini lebih tertumpu kepada ekonomi, pendidikan, kos sara hidup dan daya saing global.

Jika keadaan ini berterusan, Malaysia berisiko terus mengalami ketidaktentuan politik dalam setiap pilihan raya. Selagi undi Melayu terus berpecah secara ekstrem dan parti-parti politik gagal membina kesepakatan jangka panjang, kestabilan politik negara akan terus rapuh.

Apa yang diperlukan sekarang bukan sekadar slogan perpaduan Melayu, tetapi kematangan politik semua pihak. Pemimpin politik Melayu perlu membuktikan bahawa mereka mampu meletakkan kepentingan negara mengatasi perebutan kuasa. Rakyat pula perlu menilai pemimpin berdasarkan keupayaan mentadbir, bukannya retorik perkauman semata-mata.

Oleh itu, apabila Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Melayu bersatu, ia bukan bertujuan untuk mengancam kaum lain, tetapi demi kepentingan semua terutama negara.
Kerana, apabila Melayu bersatu politik akan menjadi stabil dan tumpuan penuh boleh diberikan kepada urusan pentadbiran dan memajukan negara bagi memastikan kepentingan rakyat terbela.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN