Pas-Bersatu: Pemimpin, anak muda Pas perlu bersedia terima setiap keputusan

Pas-Bersatu: Pemimpin, anak muda Pas perlu bersedia terima setiap keputusan

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seluruh  kepimpinan dan anak muda Pas perlu bersedia menerima sebarang keputusan lanjut hasil penelitian dan kajian yang akan diputuskan oleh parti demi maslahat perjuangan dan kestabilan gabungan.

Ini susulan kenyataan Presiden Pas yang menegaskan keperluan mengkaji semula bentuk kerjasama dan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pendirian itu wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak bagi memastikan agenda perjuangan Perikatan Nasional (PN) terus diperkukuh dengan disiplin, kejelasan arah dan semangat kebersamaan yang tinggi.

Katanya, setiap keputusan serta tindakan dalam membina sebuah kesefahaman politik yang kukuh dan berprinsip perlu dilihat dalam kerangka lebih besar iaitu berasaskan perbincangan bersama dan hala tuju kolektif antara semua parti komponen dalam PN.

“Keutamaan ketika ini ialah memperkukuhkan peranan PN sebagai semak imbang paling kuat terhadap kerajaan yang semakin gagal menangani pelbagai isu rakyat termasuk kos sara hidup, tekanan ekonomi dan ketidakstabilan pentadbiran negara.

“Tumpuan seluruh pimpinan dan jentera parti seharusnya diberikan secara kolektif kepada usaha memperkukuhkan muafakat pembangkang serta menyusun strategi menghadapi cabaran politik mendatang, bukannya membuka ruang kepada polemik yang boleh melemahkan keyakinan rakyat terhadap PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pas dilaporkan sedang meneliti semula hubungan dan kerjasama politik dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) termasuk kemungkinan bergerak tanpa parti itu sekiranya gagal mencapai kata sepakat.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang  berkata, semua aspek melibatkan hubungan antara kedua-dua parti dalam PN dikaji secara menyeluruh berdasarkan pengalaman pilihan raya lalu.

Afnan berkata, pemuda Pas menyokong penuh kenyataan Presiden Pas berhubung isu penarikan sokongan dan Akuan Bersumpah (SD) melibatkan Bersatu Negeri Sembilan serta perkembangan isu politik semasa yang turut melibatkan hubungan kerjasama dalam PN.

“Kami turut menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan kebersamaan dalam PN serta menyokong segala usaha memperkukuh kerjasama strategik antara Pas dan Bersatu demi menghadapi Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri yang bakal menjelang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN