Pakej daya tahan ekonomi berjumlah RM710 juta perkukuh pasaran buruh

Pakej daya tahan ekonomi berjumlah RM710 juta perkukuh pasaran buruh

ANWAR Ibrahim ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakej daya tahan ekonomi yang dikenali sebagai Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) dengan peruntukan sebanyak RM710 juta akan diperkenalkan bagi memastikan pasaran buruh dalam negara kekal utuh.

Pakej itu akan dilaksanakan melalui empat inisiatif utama iaitu kesiapsiagaan perlindungan sosial; pemerkasaan latihan dan penempatan kerja; pengupayaan pekerja gig dan pemantapan bakat muda dan ketahanan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi inisiatif pertama, ia akan memperkukuhkan jaringan keselamatan melalui faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) khusus bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dan meningkatkan kebolehgajian mereka.

Katanya, bagi tujuan itu, Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mempersiapkan dana SIP melebihi RM580 juta.

“Oleh kerana kehadiran syarikat-syarikat besar transformasi digital AI (kecerdasan buatan) tetapi tahap keupayaan pekerja masih di tahap yang lama, oleh itu (perlu) ada usaha tambahan dan kita terpaksa menyiapkan dana yang cukup,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Katanya, menerusi inisiatif kedua, HRD Corp akan memperuntukkan sebanyak RM100 juta di bawah program HRD Yakin Madani

“Ini banyak dalam kalangan golongan belia dan golongan rentan supaya lebih berdaya saing dan produktif,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pengupayaan pekerja gig yang menjadi fenomena sehingga menuntut kerajaan memberikan respon pantas termasuklah memperkenalkan Akta Pekerja Gig dan Suruhanjaya Pekerja Gig.

“Ia menjadi suatu mekanisme mendengar dan menyelesaikan masalah-masalah dibangkitkan jadi kita ada peruntukan dana khusus untuk memperkukuhkan perlindungan keselamatan sosial pekerja gig sebanyak RM20 juta. Ia termasuk pekerja gig di sektor e-hailing dan p-hailing,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif terakhir menerusi PACE ini diwujudkan susulan kebimbangan dalam kalangan pekerja PMKS dengan tekanan ekonomi susulan perang yang sedang berlaku di Asia Barat.
“Kerajaan melalui Kementerian Kewangan menyediakan dana pinjaman suntikan sebanyak RM5 bilion sebelum ditambah RM5 bilion lagi oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kita menyediakan Geran Padanan Latihan Industri bagi menyokong PMKS serta syarikat pemula yang mengambil pelatih industri. Inisiatif ini akan dibiayai oleh TalentCorp dengan peruntukan RM10 juta,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN