KUALA LUMPUR: Seorang peniaga dihukum penjara tiga bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini selepas mengaku bersalah membuat hantaran menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, tahun lalu.
Hakim Firdaus Md. Isa memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini.
Mahkamah turut memerintah Mohd. Hafiz Haron, 42, yang didakwa selaku Orang Kena Saman (OKS) dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, peniaga itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komen jelik melampau sifatnya terhadap Sultan Ibrahim dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana orang dengan menggunakan aplikasi TikTok melalui akaun @muhammad.bin.abdu969, kira-kira pukul 7.30 pagi, 11 September 2025.
Hantaran itu kemudian dilihat oleh seorang pengadu, Shahabudin Ismail pada hari yang sama di sebuah kediaman di Taman Pelangi Semenyih 2, di sini, pada pukul 10 malam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua sekali.
OKS juga boleh didenda RM5,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala OKS tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Nurul Atiqah mencadangkan hukuman berat dan setimpal berbentuk pengajaran dikenakan terhadap lelaki itu.
Bagaimanapun, Mohd. Hafiz merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana dia hanya berniaga dan melakukan kerja-kerja kampung selain perlu menanggung tiga anak dan menyara ibu yang sudah uzur.
Mengikut fakta kes, OKS ditangkap oleh pihak polis kira-kira pukul 9.33 malam, pada 12 September 2025. Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit serta sekeping kad sim, sehelai baju dan topi berwarna hitam.
Hasil analisis media sosial yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengesahkan akaun TikTok itu adalah kepunyaan dan dikendalikan oleh OKS.
MCMC juga melakukan analisa forensik digital dan menemukan satu rakaman video yang sama dengan rakaman video yang disiasat di dalam telefon bimbit lelaki itu.-UTUSAN










