Nahas tali bot putus: Arwah suami tidak sabar nak balik rumah

Nahas tali bot putus: Arwah suami tidak sabar nak balik rumah

NURKHAERYNA Dhania Azreen Khairil Azri menunjukkan gambar arwah suaminya yang terlibat dalam nahas kemalangan melibatkan tali bot yang terputus ketika latihan kecemasan di perairan Terengganu-Pahan  ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nir Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: “Pagi tadi arwah ada hantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp memberitahu tidak sabar nak balik rumah dan selalu cakap mahu kumpul cuti untuk temankan saya berpantang.”

Demikian luahan Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri, 28, isteri kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan melibatkan tali bot terputus ketika latihan kecemasan di perairan Terengganu-Pahang, hari ini.

Suaminya, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, 28, disahkan maut dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, dia menerima panggilan daripada pihak syarikat suaminya berkerja kira-kira pukul 4 petang memaklumkan Muhammad Faezuan Hakim terlibat dalam kemalangan namun ketika itu belum dapat dipastikan keadaan sebenarnya.

“Saya kemudian hubungi rakan-rakannya dan mendapat tahu suami meninggal dunia sebelum mereka memaklumkan perkara itu kepada ibu saya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, malam ini.

Nurkhaeryna Dhania yang tinggal di Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang berkata, sebaik sahaja menerima berita tersebut, dia bergegas ke Kuala Terengganu dan tiba di HSNZ kira-kira pukul 7 malam.

Dia yang sedang hamil tujuh bulan anak kedua berkata, kali terakhir bertemu suaminya adalah Ahad lalu sebelum mangsa kembali bertugas di platform offshore selama dua minggu.

Katanya, suaminya dijadual pulang pada 1 Jun ini dan tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik atau meninggalkan pesanan terakhir.

“Malam semalam kami sempat bercakap melalui  panggilan video sebelum dia tidur kira-kira pukul 10 malam. Pagi tadi pula dia mesej saya sekitar pukul 7 pagi dan cakap tidak sabar nak balik rumah, tetapi selepas saya balas mesej itu dia sudah tidak memberi sebarang respons,” katanya.

Menurutnyam suaminya baru menyertai syarikat tersebut pada Mac lalu namun berpengalaman bekerja dalam bidang offshore sejak 2019.

Terdahulu, tiga pekerja sebuah syarikat perkapalan dilaporkan maut manakala seorang lagi parah dalam satu kemalangan melibatkan tali bot yang terputus ketika menjalani latihan kecemasan di perairan sempadan Terengganu-Pahang, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai terlibat dalam latihan kecemasan sebelum tali bot yang digunakan tiba-tiba terputus sehingga mengakibatkan kemalangan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN