SERDANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi jaminan aktiviti penanaman padi yang terjejas di Kedah bagi Musim 1/2026 akan dapat dilaksanakan tidak lama lagi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia berikutan lebih 50 peratus kawasan bendang yang terjejas di negeri itu telah dibajak dan mempunyai bekalan air, namun, paras empangan belum mencapai tahap memuaskan.
“Sekarang sudah lebih 50 peratus dalam pembajakan dan sudah ada air dalam bendang, tetapi daripada segi empangan belum lagi sampai ke tahap yang memuaskan.
“Walau bagaimanapun (pesawah) akan mulakan penanaman (padi) tidak lama lagi,” katanya ketika sesi minum petang Pitch & Connect @ MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.
Mengulas situasi itu akan menjejaskan kadar sara diri beras (SSR) negara, beliau berkata, kelewatan penanaman sememangnya boleh memberi kesan terhadap pengeluaran beras negara.
“Kalau berlaku kelewatan (penanaman) memang akan berlaku pengurangan (beras) di seluruh Malaysia. Tarikh penanaman juga berubah kerana (faktor) cuaca dan sebagainya.
“Namun, sekiranya berlaku kekurangan (beras), insya-Allah kita ada usaha untuk menampung (bekalan),” katanya.
Awal bulan ini, kira-kira 90 peratus pesawah di Kedah termasuk di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih menangguhkan aktiviti penanaman padi bagi Musim 1/2026 susulan kos operasi yang kekal tinggi dan kekangan bekalan air.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, Abdul Rashid Yob berkata, situasi semasa itu bukan sahaja menjejaskan jadual penanaman, malah berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap tahap sara diri beras negara.
Abdul Rashid berkata, masalah utama berpunca dari paras air empangan yang rendah kerana Empangan Muda masih pada tahap kritikal serta keutamaan diberikan kepada kegunaan domestik, bukan pengairan untuk padi. – UTUSAN










