GEORGE TOWN: Malaysia terus menjadi antara destinasi utama pelancongan perubatan di rantau ini apabila permintaan daripada pesakit luar negara untuk mendapatkan rawatan kesihatan berkualiti pada kos lebih berpatutan menunjukkan peningkatan berterusan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkembangan itu dapat dilihat menerusi kehadiran pesakit asing yang semakin ramai di hospital swasta terutama di Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang.
Menurut beliau, hospital-hospital swasta di negara ini juga masih menawarkan nilai perkhidmatan yang kompetitif berbanding negara lain, sekali gus menjadikan Malaysia pilihan utama bagi rawatan perubatan.
“Pelancongan perubatan masih kukuh. Jika anda datang ke hospital swasta di Pulau Pinang, sebahagian besar pesakitnya sebenarnya dari luar negara kerana Malaysia masih menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik pada harga berpatutan.
“Jika anda pergi ke hospital di Johor dan Lembah Klang, anda juga akan melihat permintaan yang semakin meningkat daripada pelancong asing yang datang mendapatkan perkhidmatan perubatan. Ini merupakan sektor yang berkembang dan perlu terus kita sokong,” katanya selepas melawat projek Intel Pelican di Bayan Lepas, hari ini.
Mengulas mengenai pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus ke atas perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta pula, Amir Hamzah berkata, kerajaan telah menyediakan beberapa pengecualian tertentu bagi memastikan langkah itu tidak membebankan rakyat.
Katanya, pelaksanaan SST bertujuan mengukuhkan sumber hasil kerajaan serta memperluaskan ruang fiskal negara untuk menampung pelbagai keperluan perbelanjaan.
“Kutipan yang kita peroleh daripada SST dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan digunakan untuk menyokong perbelanjaan fiskal kerajaan.
“Dalam hal ini, kita hanya memberikan beberapa pengecualian dalam bidang tertentu yang mempunyai tujuan khusus, seperti cukai gula yang dinaikkan tahun lalu dan digunakan untuk campur tangan terhadap penyakit berkaitan diabetes, buah pinggang dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










